'Dah 17 hari, keluarga rayu anak pulang'
SEREMBAN - Dua keluarga merayu agar anak perempuan mereka pulang ke rumah setelah dilaporkan hilang sejak 17 hari lalu.
Chan Yi Xuan, 15, dan Chan Jiah Huih, 14, dilaporkan hilang sejak 3 Ogos lalu selepas dipercayai ke Kuala Lumpur.
Menurut ayah kepada Yi Xuan, Chan Wai Keong, 34, anaknya sebelum itu memberitahu mahu ke sekolah untuk mengambil sijil kira-kira jam 9 pagi.
Bagaimanapun katanya, sehingga malam anak gadisnya itu tidak pulang sehingga ke hari ini.
"Anak saya keluar seperti biasa, tidak menunjukkan sebarang perangai pelik pun. Malah kami sekeluarga juga tidak pernah bergaduh atau memarahinya, semuanya dalam keadaan baik sahaja.
"Puas kami menghubunginya, namun sehingga kini tiada sebarang jawapan. Telefon bimbitnya juga sudah tidak dapat dihubungi lagi," katanya ketika ditemui pada sidang media di pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seremban Jaya dekat sini hari ini.
Hadir sama, Ahli Parlimen, Rasah Cha Kee Chin dan ADUN Seremban Jaya, P Gunasekaran.
Wai Keong berkata, kali terakhir anaknya menghubungi keluarga pada 5 Ogos lalu memaklumkan mereka berada dalam keadaan baik.
Sementara itu, ibu saudara Jiah Huih, Yong Poh Yein, 34, berkata, anak saudaranya hilang selepas dipercayai pergi ke rumah rakannya untuk latihan menari.
"Pada 4 Ogos lalu, dia ada beri pesanan video kepada saya melalui WeChat memaklumkan mahu ke Kuala Lumpur bersama rakannya. Sebaik sahaja saya menerima pesanan itu saya cuba menghubunginya namun gagal.
"Pada keesokan harinya, dia menghubungi saya memberitahu dirinya dalam keadaan baik sebelum mematikan panggilan, dan sehingga ke hari ini kami langsung tidak dapat menghubunginya lagi," katanya.
Poh Yein berkata, anak saudaranya itu tidak mungkin lari dari rumah memandangkan tidak membawa pakaian, malah dia juga tidak mempunyai duit yang banyak untuk pergi jauh.
Menurutnya, Jiah Huih tinggal bersamanya sejak kecil lagi setelah ibu bapanya bercerai.
"Saya merayu kepada Jiah Huih agar segera pulang, jika ada sebarang masalah kita boleh duduk sama berbincang.
"Kami risaukan keselamatan awak, pulanglah ke pangkuan keluarga," katanya.
Difahamkan tiga laporan polis di buat di Balai Polis Senawang, Paroi dan Bukit Aman berhubung kehilangan dua remaja perempuan tersebut.
Ketua Polis Daerah Seremban, Superintendan Mohd Said Ibrahim mengesahkan menerima laporan dan memaklumkan siasatan lanjut sedang dijalankan.
Sementara itu, Kee Chin meminta orang ramai yang mempunyai maklumat supaya menyalurkan kepada pihaknya untuk tindakan lanjut dengan menghubungi talian 012-6664557.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!