Rumah keluarga asnaf terbakar
BANTING - Satu lot rumah hangus musnah dalam kebakaran yang berlaku di Kampung Kanchong Darat, kira-kira pukul 10 pagi tadi.
Ketua Cawangan Pengurusan Operasi dan Balai Jabatan Bomba Penyelamat Selangor Alimaddia Bukri berkata, pihak bomba yang menerima panggilan kebakaran pada pukul 10.23 pagi tadi ke lokasi kejadian bersama dua jentera pemadam api.
"Laporan kebakaran berkenaan melibatkan rumah kelas C yang berkeluasan kira-kira 800 kaki persegi.
"Kebakaran telah mengakibatkan kemusnahan hampir 80 peratus kepada rumah berkenaan termasuk harta benda.
"Kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada pukul 10.37 pagi oleh pasukan bomba yang digerakkan ke lokasi kebakaran," katanya.
Selain itu, Alimaddia turut mengesahkan tiada mangsa terlibat dalam insiden itu dan punca kebakaran masih disiasat.
Sementara itu, menerusi hantaran oleh halaman Kuala Langat Community, lot kediaman yang terlibat dalam insiden kebakaran itu dihuni oleh dua keluarga yang juga dari kalangan asnaf fakir miskin
Hantaran itu menyatakan salah satu daripadanya adalah pasangan suami isteri bersama lima orang anak sementara satu keluarga lagi adalah ibu tunggal bersama seorang anak.
Turut diberitahu dalam hantaran sama ialah usaha prihatin pihak masjid berdekatan yang mencadangkan beberapa inisiatif bagi membantu kedua-dua keluarga berkenaan.
"Penama-penama ini merupakan asnaf fakir miskin dari Kanchong Darat, kejadian ini melibatkan kebakaran keseluruhan harta benda.
"Pihak Masjid Jamel As Solihin Kanchong Darat telah mencadangkan untuk membantu mencari rumah sewa sementara serta membantu dari segi perbelanjaan keperluan sekolah.
"Selain itu, kita akan melancarkan tabung khas sebelum solat Jumaat hari ini selain memohon pertimbangan pihak Lembaga Zakat Selangor (LZS) bagi pembinaan unit rumah asnaf," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!