Permohonan maaf Zakir Naik, Kula Segaran serah kepada polis

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA -- Biar polis lakukan siasatan, kata Menteri Sumber Manusia M. Kula Segaran susulan permohonan maaf pendakwah bebas Dr Zakir Naik berhubung kenyataannya yang didakwa menyinggung perasaan masyarakat bukan Islam di negara ini.

Zakir telah dua kali dipanggil pihak polis untuk sesi soal siasat di Bukit Aman berhubung ceramahnya didakwa berbaur perkauman di Kota Bharu, Kelantan pada 8 Ogos.

Kula Segaran yang ditemui media selepas Majlis Konvokesyen Institusi Latihan Jabatan Tenaga Manusia (ILJTM) ke-24 di sini hari ini turut ditanya mengenai bentuk tindakannya setelah Zakir menamakan beliau sebagai salah seorang daripada lima individu yang akan disaman penceramah itu kerana didakwa memfitnahnya.

"Saya kata, saya jumpa kamu dalam mahkamah, tiada masalah untuk saya yang 35 tahun sebagai peguam,” kata Kula Segaran.

Selain Kula Segaran, individu tersebut adalah Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang Dr P Ramasamy; Ahli Parlimen Klang Charles Santiago; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Dalam Satees Muniandy dan bekas Duta Malaysia ke Kanada Datuk Dennis J Ignatius.

ARTIKEL BERKAITAN: Zakir Naik mohon maaf, tak mahu salah faham berlanjutan

Terdahulu dalam ucapannya pada majlis konvokesyen itu, Kula Segaran berkata kebolehpasaran graduan ILJTM selepas tamat pengajian dalam masa enam bulan pada masa ini adalah 84.7 peratus dengan peratusan kebolehpasaran dijangka meningkat melebihi 90 peratus selepas tempoh setahun.

"Angka-angka ini membuktikan lulusan ILJTM adalah diterima dengan baik oleh majikan di Malaysia," katanya.

Beliau dalam pada itu mahu kurikulum dan silibus dipertingkatkan dengan menerapkan elemen teknologi yang terkini dalam program dan kursus yang dilaksanakan di ILJTM.

Artikel Berkaitan:

"Tenaga pengajar juga perlu diberi latihan yang berterusan bagi meningkatkan kepakaran mereka agar dapat menyampaikan pengajaran yang terbaik kepada pelajar," katanya. -Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!