Status tsunami, maksiat, siapa harus minta maaf?
Begitupun, penceramah bebas tersebut seolah-olah mempertahankan kenyataannya itu dan menegaskan status berkenaan adalah sebagai peringatan kepada semua umat Islam dalam negara ini.
Jelasnya, beliau membuat kenyataan secara umum dan hanya menyebut ‘bayangkan sekiranya keadaan sebegitu terjadi kepada kita (rakyat Malaysia’.
“Saya sebut secara umum. Orang kita tak nak belajar dengan apa yang berlaku (kejadian bencana alam yang pernah berlaku).
“Saya sendiri faham dengan teguran ALLAH kepada kita,” katanya kepada Sinar Harian.
Ketika ditanya adakah beliau akan meminta maaf disebabkan perkara itu, Ahmad Dusuki menegaskan mereka yang salah faham dengan statusnya yang perlu meminta maaf.
“Nak minta maaf kepada siapa? Sepatutnya yang salah faham itulah minta maaf. Saya hanya sebut, kita jangan buat maksiat.
“Berani buat maksiat, kena berani tanggung akibat. Siapa berani buat maksiat, dia kena berani tanggung akibat,” jelasnya.
Dalam pada itu, menjelaskan tindakannya meletakkan nombor akaun bagi tujuan derma membina masjid di Palu, Indonesia, beliau mendakwa sudah banyak kali beliau berkongsi nombor akaun itu.
“Orang yang dah biasa dengan (status) saya, memang ada letak nombor akaun tersebut dan kebetulannya saya tengah mencari dana untuk membina masjid di Palu.
“Dana yang diperoleh dalam akaun itu kemudiannya akan diberikan untuk pembinaan masjid itu,” ujarnya.
Semalam, Ahmad Dusuki memuat naik status di laman Instagram beliau menasihatkan agar umat Islam menjauhi maksiat kerana perbuatan itu mendatangkan azab daripada Allah dan turut berkongsi video tsunami membabitkan kumpulan Seventeen.
“Bayangkan kematian menyentap saat sedang begini? Inilah yang terjadi kepada kumpulan band muzik yang sedang membuat persembahan pada malam tsunami menyentap!!
“Angka kematian bencana tsunami di pantai selat sunda (di antara kepulauan Sumatera dan Jawa) hingga kini meningkat kepada 150 orang serta mencederakan 600 orang.
“Usahlah melakukan maksiat!!! kerana maksiat itu menarik azab,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!