Rundingan APMM, Indonesia bebaskan bot nelayan tempatan

Rundingan pihak berkuasa Indonesia dan APMM Perak berjaya sebelum sebuah bot nelayan tempatan bersama lima awak-awak dibenar pulang.
Rundingan pihak berkuasa Indonesia dan APMM Perak berjaya sebelum sebuah bot nelayan tempatan bersama lima awak-awak dibenar pulang.
A
A
A

LUMUT - Sebuah bot nelayan tempatan bersama lima awak-awak dilepaskan Kementerian Kelautan dan Perikanan (KKP) Indonesia selepas hampir tiga jam ditahan pihak berkuasa negara itu di kedudukan 24.5 batu nautika berhampiran Pulau Jarak, hari ini.

Bot membawa dua warga Indonesia dan tiga Kemboja itu ditahan sekitar jam 8.11 pagi selepas didapati berada di kawasan perairan bertindih Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE).

Pemangku Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Perak, Komander Maritim Shahrizan Raman berkata, bot berkenaan dibenarkan pulang hasil rundingan antara pihaknya bersama Kapal Pengawas Perikanan Orca 02 dan bot Penggalang 13.

"Sebaik menerima laporan, sebuah bot maritim segera dikejarkan ke lokasi. Proses rundingan kali ini turut melibatkan KM Nyalau dan pesawat udara maritim.

"Sebaik rundingan selesai sekitar jam 11 pagi, bot nelayan berkenaan dibenarkan pulang dan diiring masuk ke Bagan Panchor, Pantai Remis untuk tindakan selanjutnya," katanya.

APMM Perak beri bantuan kecemasan membawa pulang seorang nelayan warga Thailand yang mengalami patah kaki
APMM Perak beri bantuan kecemasan membawa pulang seorang nelayan warga Thailand yang mengalami patah kaki

Dalam kes berasingan, APMM Perak memberikan bantuan kecemasan kepada seorang nelayan warga Thailand yang mengalami patah kaki di 42.9 batu nautika berhampiran Pulau Pangkor.

Shahrizan berkata, dalam kejadian sekitar jam 3.15 petang itu, mangsa dikenali sebagai Kowit, 59, dilaporkan cedera selepas kaki terbelit pada tali pukat akibat cuaca buruk semasa sedang menurunkan pukat.

Artikel Berkaitan:

“Bot maritim telah diarahkan untuk memberi bantuan kecemasan dan membawa mangsa ke jeti berhampiran.

"Mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Seri Manjung untuk rawatan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!