Jangan main sentimen perkauman: Anwar
KUALA LUMPUR - Semua pihak digesa tidak memainkan isu sentimen perkauman, kata Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sebaliknya, menurut beliau, menjadi tanggungjawab rakyat untuk mewujudkan suasana harmoni di negara yang berbilang kaum ini.
"Tiada siapa menghalang jika kita tingkatkan usaha dakwah lebih berkesan dan menyebarkan syiar Islam sesuai dengan peruntukan Islam sebagai agama Persekutuan. Begitu juga untuk menjaga kepentingan masyarakat Melayu Bumiputera dan kedaulatan raja-raja mengikut Peruntukan 153.
"Tetapi tidak wajar mainkan isu sentimen permusuhan kaum dalam keadaan sekarang kerana tanggungjawab kita adalah untuk membina harmoni antara rakyat. Lebih senang untuk memanaskan suhu politik kaum tetapi lebih sukar untuk mempertahankan keamanan," katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan pertemuan dengan pimpinan Pakatan Harapan (PH) Wilayah Persekutuan dan badan bukan kerajaan (NGO) di sini hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof mengenai isu orang Melayu terlalu beri muka dan berlembut, baru-baru ini.
Sementara itu, mengulas kenyataan Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin bahawa Malaysia adalah negara untuk Melayu, Anwar berkata, Malaysia adalah hak rakyat Malaysia.
"Ini negara Malaysia dan warganegaranya ada hak yang sama. Tetapi ada pengecualian dan keistimewaan di negara ini dalam mengiktiraf kedudukan bahasa Melayu, agama Islam, orang Melayu dan kedaulatan raja-raja.
"Saya ingat cukup dan memadai untuk kita sekarang memulihkan harmoni dan kasih sayang antara satu sama lain dalam negara kita," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!