Parlimen Jordan gesa tutup Kedutaan Israel di Amman
AMMAN - Parlimen Jordan semalam memperbaharui cadangan mereka supaya kerajaan menutup Kedutaan Israel di Amman berikutan pencerobohan di Baitulmaqdis.
The Jerusalem Post melaporkan perkara itu disuarakan ketika sesi tergempar yang turut dihadiri Menteri Luar, Ayman Safadi.
“Ahli Parlimen turut menekankan kepentingan mengekalkan hak orang Islam dan Kristian. Mereka juga menuntut kerajaan memanggil pulang Duta Jordan ke Israel, sekali gus menghentikan segala bentuk normalisasi dengan Israel,” jelas laporan itu lagi.
Cadangan itu dibuat sehari selepas Kementerian Luar Jordan memaklumkan kerajaan telah menghantar ‘surat tegas’ kepada Duta Israel ke Jordan, Amir Weissbrod.
Surat itu mengandungi desakan untuk menghentikan pelanggaran dibuat Tel Aviv dan segala percubaan Israel yang mahu mengubah status bersejarah dan undang-undang di tapak suci tersebut.
Bantahan diplomatik itu tercetus beberapa hari selepas Menteri Keselamatan Awam, Gilad Erdan berkata, orang Yahudi wajar dibenarkan beribadah di tapak suci tersebut.
Menurutnya, perubahan itu kononnya perlu dibuat menerusi perjanjian politik.
Difahamkan, orang Yahudi hanya dibenarkan melawat di kawasan suci tersebut.
Minggu lalu, satu insiden pertempuran ganas tercetus antara polis Israel, pelampau Yahudi dan penduduk Palestin di pekarangan al-Aqsa turut menyebabkan beberapa cedera. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!