Juruteknik lastik kenderaan didakwa
Mohd Kamal tidak mengaku salah di Mahkamah Majistret hari ini.
A
A
A
Mohd Kamal Jamaluddin, 54, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Nor Azizah Aling.
Mengikut pertuduhan pertama, Mohd Kamal didakwa dengan sengaja melastik kereta seorang individu menggunakan bola guli, dengan niat menyebabkan kerosakan sehingga mangsa kerugian RM500, kira-kira jam 11.45 malam, 15 Disember lepas.
Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa melastik cermin kereta milik seorang individu lain di Kampung Baru Seri Teruntum sehingga mangsa kerugian RM200, kira-kira jam 2.40 petang, hari yang sama.
Manakala pertuduhan ketiga pula, dia didakwa melakukan khianat sekali lagi dengan cara melastik kenderaan orang awam sehingga mangsa kerugian RM250, kira-kira jam 9.30 malam, 18 Disember lalu.
Bagi ketiga-tiga pertuduhan, Pegawai Pendakwa V Mubeswaran memohon mahkamah mengenakan ikat jamin RM4,000 setiap satu kes dengan seorang penjamin bercagar.
Namun tertuduh merayu wang jaminan dikurangkan kerana menanggung dua anak dengan gaji RM3,000.
Mahkamah kemudian menetapkan jaminan dibenarkan sebanyak RM7,500 untuk ketiga-tiga pertuduhan, dengan tiga orang penjamin bercagar.
Kes ditetapkan 21 Januari depan untuk pengurusan serahan dokumen dan lantikan peguam.
Sementara itu di mahkamah berasingan, dia didakwa melakukan perbuatan sama terhadap kenderaan awam di kawasan Kampung Jawa di sini sehingga mangsa kerugian RM400, kira-kira jam 9.30 malam, pada 27 Ogos lalu.
Dia mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Nurunaim Abdullah yang kemudiannya menetapkan 11 Januari depan untuk pengurusan kes dan lantikan peguam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!