Gerabak lama jadi perpustakaan mini di Sungai Golok
KOTA BHARU – Dengan menggunakan gerabak lama dan berkonsepkan moden dan selesa, satu sudut bahan bacaan Bahasa Melayu diwujudkan di Stesen Kereta api Sungai Golok di sini hari ini.
Sudut bacaan yang dilengkapi dengan pelbagai jenis genre buku itu berada di atas sebuah gerabak lama yang diubahsuai menjadi sebuah perpustakaan mini di stesen tersebut.
Walaupun masih baharu namun usaha yang dilakukan pihak Stesen Kereta api tersebut dan Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Kelantan sebanyak 300 naskhah buku disediakan untuk bacaan seluruh masyarakat negara jiran itu.
Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri, Ruslan Ludin berkata, ia merupakan hubungan keilmuan antara kedua-dua negara terutamanya penduduk di Kelantan itu sendiri yang sememangnya akrab dengan masyarakat di Sungai Golok.
“Dengan cara itu, kita boleh mendidik masyarakat di sini pelajari bahasa ibunda kita. Baca bahan-bahan ringan yang kita sediakan ada juga buku-buku ilmiah yang sesuai dan mudah difahami mereka.
“Langkah ini membuka ruang kepada persahabatan yang lebih akrab antara dua negara sekali gus melahirkan masyarakat yang cintakan buku dan mengamalkan budaya membaca tidak kira di mana mereka berada,” katanya kepada Sinar Harian di sini.
Beliau ditemui di Stesen Kereta api Sungai Golok selepas menyerahkan 300 naskhah buku pelbagai genre kepada Ketua Stesen tersebut, Alawi Umar.
Sementara itu, Alawi berkata, pihaknya sangat mengalu-alukan kedatangan rombongan dari Perpustakaan Negeri yang memilih stesen tersebut sebagai salah satu ‘pit-stop’ untuk mereka yang mahu mempelajari bahasa Melayu.
“Terima kasih kerana sudi bekerjasama dengan kami. Insya-ALLAH, perpustakaan mini ini akan berfungsi sepenuhnya tidak lama lagi dan dibuka bermula jam 7 pagi hingga 5 petang,” katanya.
Menurutnya, perpustakaan mini tersebut boleh memuatkan 100 orang pengunjung dalam satu-satu masa dan dilengkapi dengan alat penyaman udara dan tempat duduk yang sangat selesa dan santai sebagaimana gerabak kereta api yang asal.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!