Penang Black Panthers dapat suntikan hadapi STL
BUTTERWORTH - Penang Black Panthers mendapatkan suntikan bagi menghadapi Sepak Takraw League (STL) musim ini apabila syarikat DFZ Agency SDN BHD telah secara rasmi menaja pasukan itu buat tahun kedua berturut-turut.
Syarikat insurans itu juga telah menaja pasukan Sepak Takraw Pulau Pinang yang memasuki tahun kedua dan kerjasama itu diraikan dalam satu majlis yang turut dihadiri Presiden Persatuan Sepak Takraw Pulau Pinang (Pesenang), Datuk Seri Ahmad Ismail dan Pengarah Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang, Frederick Tan.
Sebelum ini, syarikat tersebut turut membantu menaja pasukan takraw negeri Pulau Pinang di peringkat Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) sejak empat tahun lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) DFZ Agency Sdn Bhd, Abd Hafiz Abd Majid berkata, ia adalah satu detik bersejarah buat pihaknya kerana masih diberi kepercayaan untuk membantu sukan sepak takraw Pulau Pinang.
"Sebenarnya saya mendapat permintaan negeri-negeri lain untuk membantu pasukan mereka juga namun saya memilih Pulau Pinang kerana ini adalah negeri kelahiran saya.
"DFZ mula mendapat perhatian dalam STL dalam tempoh dua tahun ini selepas serius membantu sukan sepak takraw secara langsung kepada Pulau Pinang termasuk secara tidak langsung di peringkat kebangsaan," katanya.
Abd Hafiz berkata, beliau menerima tanggungjawab sebagai Pengerusi Pembangunan Sepak Takraw Pulau Pinang dan Pengurus Penang Black Panthers pada musim ini adalah disebabkan oleh minat.
Pada majlis tersebut itu juga, DFZ turut menyerahkan sebuah kenderaan rasmi kepada Pasukan Sepak Takraw Pulau Pinang untuk kegunaan pasukan.
Penang Black Panthers muncul juara Piala Juara-Juara Liga Sepak Takraw (STL) 2018 pada Disember setelah membenam ATM Guardians dalam aksi final.
Kejayaan itu adalah kejuaraan manis mereka buat musim kedua berturut-turut, sekali gus melengkapkan kejuaraan berganda Penang Black Pantherd selepas terdahulu memenangi kejuaraan STL Premier pada November 2018.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!