Mohamad Faris dapat perhatian MRA
Dr Rosemi memberikan kata-kata semangat kepada Mohamad Faris yang tinggal di rumah sewa kakaknya di Jalan Geale, Kuala Krai.
A
A
A
Terbaharu, Mohamad Faris menerima kunjungan Pengerusi Malaysian Relief Agency (MRA), Datuk Dr Rosemi Salleh yang menyampaikan sumbangan susu, lampin pakai buang, barangan keperluan harian serta wang tunai.
Ibunya, Siti Timah Mat meluahkan rasa syukur orang ramai tampil menghulurkan bantuan sejak kisahnya disiarkan Sinar Harian minggu lalu.
"Terima kasih kepada semua penyumbang termasuk rombongan hari ini yang menyampaikan sumbangan serta turut memberikan khidmat nasihat tentang penyakit dihidapi Mohamad Faris.
"Rombongan MRA turut memberikan kata-kata semangat buat kami sekeluarga, ia benar-benar bermakna buat kami ketika ini," katanya yang kematian suami akibat penyakit sama Oktober tahun lalu.
Sementara itu, Dr Rosemi berkata, MRA merupakan badan bukan kerajaan (NGO) pelbagai latar belakang yang ditubuhkan sejak 2014 aktif membantu golongan memerlukan.
"Kami tidak mempunyai dana khas, sebaliknya wang adalah hasil dari sumbangan ahli, jadi kami turut mengalu-alukan orang ramai untuk sama-sama membantu golongan sasar," katanya.
Dalam pada itu, Dr Rosemi juga akan menyampaikan sumbangan berupa tilam dan kerusi roda khas kepada keluarga Siti Timah bagi memudahkan mereka menguruskan Mohamad Faris dalam masa terdekat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!