Mengapa tiada maaf bagimu?

A
A
A

HUJUNG minggu lalu, suasana di kawasan perumahan saya riuh rendah dengan kehadiran ramai kanak-kanak. Maklumlah cuti sekolah. Mereka semua adalah anak-anak yang mengikut ibu bapa mereka ke rumah jiran saya.

Biasalah dengan kanak-kanak, mereka bermain tidak tentu masa. Risau juga bila terdengar bunyi hon kereta yang melalui jalan di depan rumah saya. Bimbang akan keselamatan budak-budak itu.

Sambil duduk mengunyah keropok, saya perhati kanak-kanak yang sedang bermain. Adatlah kanak-kanak. Dalam bermain, bergurau senda, berkejar-kejaran dan bertolak-tolak, pasti akan terjadi pertengkaran seandainya ada yang tidak puas hati dengan permainan.

Tiba-tiba terdengar raungan. Salah seorang kanak-kanak itu tidak puas hati kerana kereta mainannya dilenyek tayar basikal abangnya.

Sambil berjalan menggenyeh matanya yang berair, terdengarlah kata-kata... ‘Kabar mak...” Maknanya si adik mahu mengadu kesalahan abangnya kepada ibu mereka.

Si abang berlari-lari datang untuk memujuk, tetapi si adik meronta, enggan disentuh. Lantas dia berkata, ‘Tak nak kawan!’

Bila melihat gelagat mereka, lantas saya teringat perangai saya dengan abang saya lebih kurang begitu juga. Bila marahkan abang akibat bergaduh, perasaan saya memang membenci terhadap abang saya.

Artikel Berkaitan:

Pada waktu itu, saya memang tidak mahu berkawan lagi dengan abang kerana dosanya kepada saya dirasakan begitu besar. Saya tak akan ampunkan dosa dia!Tapi sebentar sahaja. Tidak sampai setengah jam, kami akan bermain semula.

Abanglah yang selalu datang memujuk dengan cara menggeletek. Bila ketawa, hilang langsung perasaan benci dan perasaan tidak mahu kawan lagi. Begitulah kita di zaman kanak-kanak. Berkawan sebentar, bergaduh pun sekejap.

Bila suka, kita tidak berasa cacat celanya kawan kita. Tapi bila bermasam muka, yang tinggal, cuma rasa dendam.Bila mengimbas kembali suasana itu, saya terfikir ada di antara kita pada hari ini yang terbawa-bawa perangai di zaman kanak-kanak itu hingga ke hari ini.

Tanpa kita sedari, perangai kebudak-budakan itu masih menjadi sikap kita dalam pergaulan. Tapi cuma separuh jalan sahaja iaitu bila berkawan begitu akrab, bila bergaduh terus tidak pandai berbaik semula.

Kita mudah bergaul dengan sesiapa sahaja. Kita juga boleh mudah mempercayai mereka yang baharu kita kenali. Kadangkala kita lebih akrab dengan kawan-kawan yang baharu, daripada kawan-kawan lama kita. Malah, berlaku situasi bilamana kita boleh abaikan kawan-kawan lama kita kerana kehadiran kawan yang baharu.

Namun, apabila terjadi sesuatu perselisihan pendapat lalu terjadinya pertengkaran, kita boleh tutup langsung pintu rundingan. Kita tidak boleh berselisih apatah lagi bertembung pandangan dengannya.

Kalau pun terpaksa bersalam bila terserempak, kita bersalam jugalah. Jangan tidak, kata orang. Rupa-rupanya, kita takut juga terputus silaturahim. Bimbang akan dosa yang menimpa kelak. Lihatlah ekstrem dalam dua situasi ini.

Ketika baik, kawan kita itulah manusia sempurna. Ketika bergaduh, dia langsung tidak berguna dan harus dinyahkan daripada kamus kehidupan. Mengapa kita terlupa pada pesan orang tua-tua, buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali-kali?

Maaf cakap, kita ini selalu sangat terlupa pada kata-kata hikmat itu. Lihatlah ruang lingkup pergaulan kita. Dengan adik-beradik, biasa terjadi perbalahan hingga tidak bertegur sapa. Padahal masing-masing sepusat sepusing. Dengan kariah surau pun biasa kita nampak persahabatan dan kerenggangan yang begitu. Ia juga biasa terjadi dengan rakan sekerja.

Dan yang paling kerap dan menyerlah ialah pandangan dan penilaian kita terhadap tokoh-tokoh pemimpin di sekeliling kita. Pada mulanya kita suka dan sokong mereka tanpa soal.

Apabila pendirian mereka sudah berubah dan tidak seiring dengan cita rasa kita, kita membenci mereka.Malah kadangkala bukan setakat membenci tetapi kita tambah lagi dengan mengutuk, memfitnah dan memaki mereka, seolah-olah sebelum ini kita tidak pernah sayangkan mereka sebagai pemimpin kita.

Mengapa kita bertindak begini? Mengapa kita tidak mahu segera move on seperti kita di zaman kanak-kanak iaitu mudah bergaduh dan cepat melupa dan memaafkan? Memaafkan itu ubat. Tidak memaafkan itulah racun!

Ketika baik, kawan kita itulah manusia sempurna. Ketika bergaduh, dia langsung tidak berguna dan harus dinyahkan daripada kamus kehidupan. Mengapa kita terlupa pada pesan orang tua-tua, buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali-kali."

* Norden Mohamed ialah mantan Ketua Pengarang Sinar Harian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!