Wanita maut kereta dinaiki terbabas, terbalik
KAJANG - Seorang penumpang wanita maut manakala pemandu kereta cedera dalam kemalangan di Kilometer 4.8 Lebuhraya Lingkaran Penyuraian Trafik Kajang (SILK), awal pagi tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Penguasa Kanan Bomba I Hafisham Mohd Noor berkata, pihaknya dimaklumkan berlaku kemalangan membabitkan dua mangsa di lokasi pada jam 4.46 pagi.
Menurutnya, tujuh anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Kajang bergegas ke lokasi.
"Menurut komander operasi, kemalangan melibatkan sebuah Produa Myvi yang terbabas dan terbalik.
"Pemandu lelaki yang dipercayai cedera dikeluarkan dan dihantar ke hospital oleh orang awam sebelum pihak bomba sampai di lokasi.
"Terdapat seorang penumpang wanita didapati tersepit di kerusi bahagian hadapan berjaya dikeluarkan namun disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan," katanya.
Beliau berkata, mangsa yang maut dikenali sebagai Siew Ji Lin, 25.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!