Enam jam selamatkan gajah terperangkap lombong

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUANTAN - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pahang mengambil masa hampir enam jam bagi menyelamatkan lima ekor gajah yang terperangkap di dalam lombong emas tinggal di Pekan dekat sini, semalam.

Pengarah Perhilitan Pahang, Rozaidan Md Yasin berkata operasi dilakukan oleh pegawai jabatan itu dari daerah Muadzam Shah, Rompin yang menerima maklumat empat gajah dewasa dan seekor anak gajah terperangkap di Runchang, pada pagi semalam.

“Empat pegawai yang membuat semakan di lokasi kejadian mendapati gajah itu tidak dapat keluar dipercayai kerana kawasan lombong yang berlumpur.

“Kami terpaksa meminta bantuan daripada syarikat perlombongan berhampiran bagi menggunakan excavator mereka untuk mengorek dan membuat laluan keluar kepada gajah tersebut,” katanya semasa dihubungi di sini, hari ini.

Rozaidan berkata, kesemua gajah itu berjaya dikeluarkan sekitar 6 petang dan didapati berada dalam keadaan baik.

Gajah itu kemudiannya meneruskan perjalanan masuk ke hutan berhampiran, katanya.

Rakaman video operasi menyelamatkan gajah itu yang berdurasi 3 minit 43 saat dimuat naik di laman Facebook Jabatan Perhilitan Semenanjung Malaysia pada 12 jam lalu, dan setakat pagi ini, ditonton 233,000 orang.

Sebanyak 1,200 komen diterima daripada pengunjung laman sosial itu yang berterima kasih dan memuji kesungguhan pegawai berkenaan membantu mengeluarkan gajah tersebut. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!