Tokan dadah ditahan bantu siasatan kes curi motosikal

Chee Khoon (tengah) bersama pegawainya menunjukkan barangan dirampas pada sidang media di IPD Sabak Bernam.
Chee Khoon (tengah) bersama pegawainya menunjukkan barangan dirampas pada sidang media di IPD Sabak Bernam.
A
A
A

SABAK BERNAM - Sebuah motosikal Yamaha Y125 dilaporkan hilang pada Jumaat lalu ditemui semula di sebuah rumah, yang turut dipercayai menjalankan kegiatan pengedaran dadah di Kampung Batu 2 Sepintas di sini Sabtu lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Deputi Superintendan Lim Chee Khoon berkata, seorang suspek lelaki berusia 32 tahun ditahan oleh sepasukan anggota polis pada jam 3.30 pagi di rumah terbabit.

Menurutnya, hasil pemeriksaan terhadap nombor casis motosikal itu mengesahkan ia motosikal curi.

"Suspek yang juga pengedar dadah mendakwa pembeli dadah yang tidak memiliki wang menyerahkan motosikal kepadanya untuk membeli dadah," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam di sini hari ini.

Chee Khoon berkata, suspek terbabit yang sudah berkahwin tetapi tidak memiliki anak sebelum ini turut memiliki tiga rekod jenayah dan narkotik.

"Malah, isteri suspek ketika ini sedang menjalani hukuman penjara atas kesalahan penyalahgunaan dadah," katanya.

Mengulas mengenai tangkapan itu, Chee Khoon berkata, suspek bersendirian di dalam rumah terbabit semasa serbuan dilakukan.

"Polis menjumpai tujuh paket lut sinar dipercayai dadah jenis heroin seberat 8.18 gram bernilai RM250 dalam poket seluar suspek.

Artikel Berkaitan:

"Turut ditemui motosikal curi bernilai RM5,500 ketika anggota membuat pemeriksaan sekitar rumah berkenaan," katanya.

Ujarnya lagi, hasil saringan ujian air kencing mendapati suspek positif methampetamine dan kini masih direman selama empat hari, manakala kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!