Mahfuz tepis dakwaan isu perkauman bakal tumbangkan PH

MAHFUZ
MAHFUZ
A
A
A

ALOR SETAR - Naib Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar menepis dakwaan penganalisis politik, Prof Madya Dr Rusdi Omar yang mendakwa isu perkauman boleh menyebabkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang sekiranya tidak ditangani sebaik mungkin.

Menurutnya, pandangan itu terlalu subjektif dan tiada pihak mampu membaca pemikiran masyarakat yang sering berubah-ubah.

“Sebelum PRU14, isu perkauman yang mengubah kerajaan sedia ada, walaupun ketika itu BN memainkan isu dengan menakutkan masyarakat Melayu berkaitan DAP, namun apa yang berlaku sebaliknya apabila DAP menang banyak kerusi,” katanya kepada Sinar Harian.

Mahfuz berkata, isu perkauman tidak wajar dijadikan subjek dalam mana-mana penilaian sesuatu perkara, termasuk membuat andaian seumpama itu.

“Saya bersetuju semua pihak harus elakkan membincangkan secara terbuka isu- isu melibatkan perkauman. Tidak relevan untuk nyatakan isu perkauman boleh jatuhkan kerajaan PH, kerana jatuh bangun sesebuah kerajaan itu dipengaruhi banyak faktor,” katanya.

Menurutnya, mana-mana pihak juga diingatkan agar tidak membudayakan pemikiran sempit terutama dalam isu perkauman dan agama.

“Semua pihak harus kembali kepada meja perundingan dan bincang secara harmoni. Perkara itu dapat kita saksikan sebelum PRU14, di mana parti politik dan NGO boleh duduk semeja berunding isu-isu kepentingan negara,” katanya.

Mahfuz berkata lagi, perkara sama harus dibudayakan kembali dengan memberi tumpuan kepada permasalahan negara agar dapat ditangani dalam usaha menjana ekonomi.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, dalam kenyataannya, Dr Rusdi tidak menolak kemungkinan isu perkauman boleh menyebabkan kerajaan tumbang jika tidak ditangani sebaik mungkin.

Katanya, pemimpin PH khususnya bukan Melayu harus lebih bijak membangkitkan isu kaum lain sekiranya mahu kerajaan PH bertahan lama.

Beliau juga mengingatkan pemimpin bukan Melayu agar tidak terlalu mendesak kerajaan melakukan sesuatu demi kepentingan mereka, sebaliknya memahami kontrak sosial untuk keharmonian negara.

Ditanya sama ada menteri dan timbalan menteri PH termasuk pemimpin politik perlu ‘disekolahkan’ kembali bagi memastikan mereka lebih memahami Perlembagaan Persekutuan dan sejarah Malaysia seperti disarankan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof, Mahfuz berkata, pihaknya percaya semua pemimpin memahami apa termaktub dalam perlembagaan dan mematuhinya.

“Saya fikir semua faham kontrak sosial dan sebagainya, pemimpin sentiasa lengkapkan diri dengan maklumat agar diterima masyarakat.

"Ketika wakil rakyat mengangkat sumpah jawatan, mereka nyatakan patuh pada perlembagaan, cuma mungkin ada ketika mereka tersasar landasan,” katanya.

Menurutnya, perbincangan berkaitan isu sensitif wajar dilakukan secara tertutup, dengan berlapang dada untuk mencari titik persamaan.

“Orang yang fahami perlembagaan pun selalu buat kenyataan yang boleh membawa kepada masalah berlarutan, sepatutnya mereka bincang atasi masalah dalam ruang lingkup tertentu, contohnya Kabinet. Bukan timbulkan isu yang menambahkan lagi ketegangan antara kita,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Isu perkauman boleh tumbangkan PH, kata penganalisis politik

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!