Rangka manusia dalam bangunan terbengkalai
BUTTERWORTH - Satu rangka manusia ditemui dalam keadaan berselimut di tingkat satu sebuah bangunan terbengkalai di Jalan Bagan Luar di sini petang semalam.
Rangka manusia itu ditemui seorang lelaki kira-kira jam 5 petang sebelum dia melaporkannya kepada polis.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, rangka manusia tersebut didapati berada dalam keadaan tidak lengkap anggota badannya dan terlentang di atas lantai.
"Identiti rangka manusia tersebut juga gagal diperoleh kerana kita tidak menemui sebarang dokumen pengenalan diri berhampiran rangka.
"Rangka manusia tersebut kemudiannya dibawa ke Jabatan Forensik, Hospital Seberang Jaya untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi di sini.
Menurutnya, setakat ini polis tidak menerima sebarang laporan mengenai kejadian orang hilang.
Sehubungan itu, beliau meminta kepada orang ramai yang kehilangan ahli keluarga atau mempunyai sebarang maklumat untuk hubungi talian 04-5759122 atau tampil di balai polis berhampiran untuk memudahkan urusan pengecaman rangka mangsa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!