Sindiket edar dadah sasar pusat hiburan keluarga
SHAH ALAM - Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah yang mensasarkan pelanggan di pusat hiburan keluarga dalam tiga serbuan berasingan di di negeri ini baru-baru ini.
Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Ab Rashid Ab Wahab berkata, pihaknya merampas pelbagai jenis dadah dengan nilai keseluruhan sekitar RM701,226 dalam tiga serbuan tersebut.
Menurutnya, lima suspek termasuk dua wanita berusia 30 hingga 42 tahun, warga tempatan ditahan bagi membantu siasatan polis.
“Serbuan pertama pada Ahad lalu jam lebih kurang 12 tengah malam di pusat hiburan keluarga di Batu Tiga Lama, Klang.
"Dalam serbuan itu, polis menahan seorang lelaki dan dua wanita. Hasil pemeriksaan polis menemui enam paket plastik lut sinar berisi 1,200 pil ecstacy seberat 395 gram,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam hari ini.
Ab Rashid berkata, tangkapan tiga suspek itu membawa kepada serbuan di satu unit kondominium di Setia Alam, Shah Alam dan menahan seorang lelaki tempatan berusia 42 tahun.
“Pemeriksaan di kondominium itu menemui 14,214 biji ecstasy seberat 4.6 kilogram (kg), 800 pil erimin 5 (232 gram (g)) serta ketamin (500g) dengan nilai keseluruhan RM463,420.
“Suspek bekerja sebagai pemandu e-hailing dan polis turut menyita kereta Perodua Bezza serta wang tunai dengan nilai sitaan sekitar RM46,912,” katanya.
Ab Rashid berkata, dalam satu lagi serbuan berasingan polis menahan seorang lelaki di Bandar Utama, Damansara pada jam 6.30 petang, Ahad dan menemui pelbagai jenis dadah di dalam kereta Toyota Camry dinaikinya.
"Polis menemui satu paket plastik lut sinar berisi 40 paket kecil disyaki ganja seberat 235g serta syabu seberat 100g dalam kereta suspek.
“Hasil soal siasat polis menyerbu rumah suspek di Petaling Jaya dan menemui 85 paket plastik berisi ketulan ganja seberat 1.4 kg, 1,376 pil ecstacy, syabu (1.3 kg), 33 paket plastik serbuk ecstacy (480g) serta 470 pil erimin 5,” katanya.
Katanya, nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan bagi serbuan di Petaling Jaya adalah sekitar RM246,106.
“Siasatan mendapati sindiket ini beroperasi sejak enam bulan lalu dan kelima-lima suspek ini tidak mempunyai rekod jenayah lampau kini direman sehingga Sabtu depan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!