Dron laksana misi mustahil
JIKA pembaca beranggapan bahawa dron merupakan satu inovasi baharu, persepsi itu sebenarnya kurang tepat.
Menyusuri historiografi seperti yang dipaparkan menerusi www.dronethusiast.com, penciptaan dron sudah dijalankan sejak lebih 170 tahun lalu.
Sejak dari tahun 1849, dron dikatakan sudah digunakan sebagai senjata ketenteraan di beberapa buah negara maju.
Sesungguhnya, rekaan pesawat bersayap tanpa pemandu telah mengubah segala-galanya.
Apabila adik-beradik, Wilbur dan Orville Wright berjaya mencipta kapal terbang yang dinamakan Flyer 1 pada tahun 1903, ia telah mencambahkan idea menghasilkan dron (sebelum ini dipanggal pesawat bersayap tanpa pemandu).
Maka, terhasillah Ruston Proctor Aerial Target yang dirintis Nikola Tesla. Teknologi itu dikawal sepenuhnya oleh radio.
Ketika itu, peranan Ruston Proctor Aerial Target hanya lebih tertumpu kepada teknik serangan dengan pesawat tanpa pemandu yang membawa bom untuk menyerang kawasan musuh.
Begitu dengan dron Hewitt-Sperry Automatic Airplane atau lebih dikenali sebagai Flying Bomb atau Aerial Torpedo.
Ia semua masih lagi dijadikan senjata ketenteraan sebelum berlakunya revolusi penciptaan bug kettering yang dikatakan satu keajaiban teknologi pada tahun 1918.
Selepas tamat Perang Dunia ke-2, penggunaan dron semakin berkembang bukan sahaja dalam sektor ketenteraan bahkan mula dikomersialkan dalam sektor swasta.
Menurut laporan Wall Street Journal, sejarah penggunaan dron mula berkembang sejak tahun 2006.
Dron telah digunakan dalam misi bencana, pengawasan sempadan, pemadaman kebakaran terbuka, pemeriksaan saluran paip dan semburan racun perosak di ladang.
Tahun tersebut menjadi tempoh pertama Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) mengeluarkan permit dron untuk tujuan komersial.
Seiring mengikut arus, FAA dilaporkan mengeluarkan 1,000 permit dron pada tahun 2015 dan angka itu meningkat tiga kali ganda menjadi 3,100 permit pada tahun 2016. Di Malaysia sendiri, perkembangan dron dikatakan hanya mula meluas sekitar tahun 2015.
Media-media arus perdana juga dilihat menggunapakai inovasi itu untuk penghasilan video yang lebih menarik.
Tidak bernoktah sekadar di situ, kini banyak syarikat-syarikat kecil tumbuh bagai cendawan dalam menawarkan perkhidmatan video dron untuk memeriahkan video perkahwinan.
Pendek kata, dron sudah menjadi kemestian dalam menghasilkan satu naratif video yang menarik dan lebih sofistikated.
Berikut, e-Trend senaraikan fungsi dron yang paling signifikan diaplikasikan dalam bidang-bidang tertentu:
PERTANIAN
Di Malaysia, MATA Aerotech baru-baru ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Felcra Berhad bagi mengintegrasikan teknologi di dalam model pertanian pintar.
Ketua Eksekutif MATA Aerotech, Wan Azrain Adnan berkata, kerjasama itu selaras dengan aspirasi kerajaan ke arah Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) dan memperkukuhkan komitmen Felcra untuk meningkatkan pencapaian organisasi dan menambah baik kualiti hidup warganya.
MoU itu antara lain tersebut menggariskan dua aspek kerjasama utama iaitu:
1) Penggunaan teknologi dron dan robotik untuk pengurusan serta operasi perladangan Felcra
2) Meneraju aktiviti penyelidikan dan pembangunan bagi meningkatkan inovasi sektor pertanian dan pembangunan modal insan untuk industri teknologi dron dan robotik.
Analisa data yang disediakan oleh teknologi dron itu nanti akan membantu memperbaiki prestasi pengurusan ladang dengan memiliki maklumat (ladang) terkini.
Teknologi itu juga akan dapat meningkatkan hasil tanaman dengan pemetaan ladang yang tepat dan pantas serta dapat menganalisa kualiti dan kesihatan tanaman.
MATA Aerotech ialah sebuah organisasi ulung berteraskan teknologi dron dan robotik yang merupakan syarikat usahasama antara syarikat Malaysia dan Taiwan, iaitu Nexus Union, SWS Capital Berhad serta GEOSAT Aerospace & Technology Inc.
MATA Aerotech memiliki kepakaran serta pengalaman yang mendalam bersandarkan teknologi dron dan robotik yang dibina sejak 2009.
PERFILEMAN
Jika pembaca pernah menonton filem Hindustan, Dilwale yang dibintangi pelakon terkenal, Shah Rukh Khan dan Kajol, pastinya teruja menonto adegan klip video lagu Gerua yang cukup memukau dengan keindahan pemandangan yang dirakamkan di Kepulauan Iceland.
Lagu berkenaan yang diterbitkan pada 18 November 2015 itu dengan pantas tular di Youtube. Pemandangan yang pada mulanya disangka diedit, sebenarnya silap! Kru produksi hanya menggunakan dron untuk melakukan penggambaran video berkenaan.
Begitu juga dengan filem aksi, dron juga telah digunakan untuk memperhebatkan babak rakaman udara seperti yang dipraktikkan pengarah terkenal, Sam Mendes dalam filem Sky Fall James Bond (2012) bagi aksi mengejar bermotosikal.
Filem Jurassic World memperlihatkan sisi kecanggihan dron apabila berjaya merakam sekumpulan manusia ketika diserang pterosaur seolah-olah meniru pergerakan reptilia terbang itu.
Bagi pengasas bersama Sinematografik Dron Syarikat Aerial MOB, Tony Carmean juga menganggarkan kos pembiayaan filem menggunakan khidmat helikopter sebanyak USD20,000 sehingga USD40,000 (RM8,3870 - RM167,740) untuk tempoh 10 jam berbanding kos dron hanya USD4,500 sehingga USD13,000 (RM18,870.75 - RM54,515.50) termasuk kru, peralatan dan insurans.
"Penjimatan satu signifikan walaupun dron ada kelemahan termasuk bateri terhad dan hanya boleh terbang pada kadar tertentu sahaja," kata Carmean kepada portal antarabangsa, Time.com.
Drama polis terkenal di Malaysia, Gerak Khas juga menggunakan peranti berkenaan untuk menghasilkan siri yang berkualiti.
PERISIKAN
Sehalus-halus serangga pepatung, namun jangan terkejut jika itu sebenarnya dron perisik.
Seperti yang dijelaskan pada huraian awal penulisan, sejarah dron yang menjadi senjata ketenteraan sudah berkembang cukup lama.
Namun, revolusi kemaskini teknologi berkenaan dilakukan tanpa jemu oleh penyelidik. Terkini, reka bentuk yang dilengkapi dengan kamera 0.15 gram dan kad memori, dikatakan mampu dikawal pada jarak jauh.
Bukan sahaja dalam bentuk pepatung tetapi juga dalam bentuk kupu-kupu, lalat dan langau. Amerika Syarikat (AS) khususnya sanggup menghabiskan berbilion-bilion dolar untuk membina teknologi dron perisikan bersaiz kecil dan pesawat tanpa pemandu dalam bentuk mikro.
Serangga robot itu direka sekecil itu supaya mudah menyusup masuk ke kawasan bandar tanpa dikesan dan sangat praktikal. Bahkan, AS juga tidak sendirian kerana banyak lagi negara seperti Perancis, Belanda dan Israel juga mengembangkan peranti yang sama.
Dalam satu laporan Reuters, AS dilaporkan turut menjual 34 dron pengintip kepada beberapa negara seperti Indonesia, Filipina dan Vietnam termasuk Malaysia.
Menurut Pemangku Setiausaha Pertahanan, Patrick Shanahan, tindakan itu dibuat selepas Washington tidak lagi perlu ‘mengintip’ aktiviti China di Asia kerana dron berkenaan berupaya mengumpul data perisikan lebih hebat dan berpotensi mengekang aktiviti China di Laut China Selatan.
Penjualan 34 dron ScanEagle yang dibangunkan Boeing itu dianggarkan bernilai AS$47 juta (RM196 juta) melibatkan alat ganti dan baik pulih, peralatan sokongan, alat-alatan, latihan dan perkhidmatan teknikal serta kerja-kerja pemasangan yang dijangka siap sepenuhnya menjelang Mac 2022.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!