Terperangkap 20 minit dalam lif
KUALA SELANGOR - Dua lelaki berusia 20-an cemas apabila terperangkap kira-kira 20 minit di dalam lif Pejabat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Kuala Selangor di sini pagi tadi.
Difahamkan, lif itu tiba-tiba terkandas di tingkat tiga bangunan hingga menyebabkan seorang daripada mangsa menghubungi bomba untuk tindakan lanjut.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Selangor, Penolong Penguasa Bomba Mohd Faisal Jumari berkata, pihaknya ke lokasi kejadian sejurus selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 11.21 pagi.
"Sepasukan tujuh pegawai dan anggota bersama jentera dikerah dalam operasi membantu dan menyelamat semua mangsa berkenaan.
"Pintu lif itu kemudian dibuka dengan menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa," katanya.
Menurut Mohd Faisal, pihaknya mengambil masa lima minit untuk mengeluarkan mangsa yang terperangkap.
"Operasi ditamatkan pada jam 12.06 tengah hari," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!