Perhilitan arah pengusaha timbus semula lombong
KUANTAN - Pengusaha lombong emas digesa menimbus semula lubang lombong selepas kerja mencari bahan galian itu selesai bagi mengelak kejadian haiwan terperangkap terus berulang.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Rozidan Md Yasin berkata, ini kerana lubang yang dihasilkan oleh pengusaha lombong menjadi ancaman kepada bukan sahaja gajah tetapi pada semua haiwan liar yang berada dalam Hutan Simpan Ibam, Rompin.
Menurutnya, kejadian lima gajah termasuk seekor anak yang terperangkap dalam lubang perangkap selut bekas lombong emas haram adalah kes kedua yang berlaku.
“Pada April lalu pihak kita juga telah menyelamatkan seekor gajah dewasa turut terjatuh dalam lubang di Kampung Kedaik, Pekan dan operasi menyelamat itu juga menggunakan jentera jengkaut.
“Apabila kejadian sama berulang, kita ambil serius dan berharap pihak berkaitan bertindak tegas pada pengusaha lombong," katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata, pihaknya sudah menyelamatkan lima gajah termasuk seekor anak yang terperangkap dalam lubang berselut sedalam 15 kaki selepas dipercayai ingin berkubang di takungan air itu.
Katanya, operasi menyelamat haiwan itu dilakukan segera oleh kakitangan Perhilitan negeri dan daerah selepas menerima aduan daripada masyarakat orang asli yang tinggal di kawasan hutan berkenaan.
“Bagi misi mengeluarkan gajah itu, kita terpaksa meminta bantuan pengusaha lombong di kawasan terbabit untuk menggunakan jengkaut untuk membuat laluan bagi membolehkan gajah terbabit keluar dari lubang.
“Operasi menyelamat itu mengambil masa antara lima hingga enam jam bagi memastikan kumpulan gajah berkenaan selamat dan pulang ke habitat asal,” katanya.
Rozidan berkata, kawasan Hutan Simpan Ibam antara habitat semula jadi gajah di negeri ini.
Semalam, satu rakaman video operasi menyelamatkan gajah yang berdurasi 3 minit 43 saat dimuat naik di laman Facebook Jabatan Perhilitan Semenanjung Malaysia dan ditonton lebih 233,000 kali.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!