Tindakan tegas Abdul Hamid tepat pada masa

Abdul Hamid
Abdul Hamid
A
A
A

SHAH ALAM - Parti Amanah Negara Wilayah Persekutuan (Amanah WP) menyifatkan ketegasan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador dalam menangani isu sensitiviti perkauman disifatkan amat berkesan dan tepat pada masanya.

Naib Pengerusinya, Ahmad Zamri Asa’ad Khuzaimi berkata, tindakan pantas Polis DiRaja Malaysia (PDRM) ini amat wajar berdasarkan perkembangan suasana dalam negara yang semakin tidak menyenangkan semua pihak.

Menurutnya, golongan pelampau dan ekstremis yang menyebarkan hasutan dan dakyah sehingga mengancam keselamatan serta keharmonian rakyat perlu ditangkap serta-merta.

“Sikap mereka yang berselindung di sebalik golongan yang kononnya cintakan agama, bangsa dan negara amat dikesali kerana hakikatnya mereka mempunyai agenda halus untuk menggugat keharmonian rakyat dan kestabilan negara.

“Amanah WP menyokong kenyataan Abdul Hamid supaya menangkap serta-merta pihak yang cuba membangkitkan sensitiviti perkauman kerana ia memberi kesan yang buruk kepada negara,” katanya menerusi satu kenyataan.

Dalam masa sama, beliau berkata, Amanah WP mengharapkan supaya semua pihak terutama pemimpin politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) memainkan peranan proaktif bagi membina suasana positif dan harmoni dalam masyarakat.

“Dalam semangat kita merayakan Hari Kebangsaan ke-62, tentu keharmonian dan perpaduan rakyat berbilang bangsa di negara ini sangat signifikan untuk kita pertahan dan kekalkan kerana ia adalah tanggungjawab kita bersama,” katanya.

Semalam, Abdul Hamid berkata, beliau tidak teragak-agak untuk menangkap mereka cuba membangkitkan sensitiviti perkauman, bangsa dan agama termasuk pemimpin politik.

Katanya, banyak pihak terpedaya dengan agenda tertentu yang dicipta pihak-pihak tidak bertanggungjawab untuk menimbulkan suasana tidak harmoni dalam negara.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Individu bangkit isu perkauman terus ditangkap, tiada lagi amaran

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!