Kerajaan Negeri Sembilan teliti implikasi gabung dua PBT
SEREMBAN - Kerajaan negeri sedang meneliti implikasi perundangan dan peraturan-peraturan kecil dalam membentuk satu pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi daerah Seremban yang akan berstatus bandar raya pada 1 Januari tahun depan.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, penggabungan dua PBT iaitu Majlis Perbandaran Nilai dan Majlis Perbandaran Seremban merupakan yang pertama kali berlaku.
"Kita bincangkan peraturan atau undang-undang kecil yang akan berlaku ketika penggabungan kerana ini kali pertama dua PBT yang bergabung ekoran sebelum ini hanya melibatkan satu PBT.
"Dalam pada itu, penggabungan ini melibatkan dua-dua pegawai dari Majlis Perbandaran itu, kita minta pihak kerajaan negeri melihat kesesuaian jawatan berkenaan," katanya pada sidang media selepas selesai Mesyuarat Exco di sini hari ini.
Sementara itu, dalam perkembangan berlainan, Aminuddin menjelaskan berlaku salah faham berhubung penyertaan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam perarakan kemerdekaan yang akan berlangsung pada 31 Ogos ini di Majlis Perbandaran Seremban.
"Kerajaan PH baru setahun, ada pegawai baharu bertukar dan berkemungkinan mereka kurang arif tentang ini (program kemerdekaan) sehingga timbul isu tidak dijemput menyertai perarakan sepertimana sebelumnya.
"Kami alu-alukan penyertaan mereka dan masih sempat untuk menghantar pasukan," katanya ketika menjawab tertanya mengenai dakwaan persatuan Cina tidak dijemput menyertai perarakan Hari Kebangsaan hujung bulan ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!