ERC cadang wujud badan khas

Ab Rashid (tujuh dari kiri) bergambar bersama peserta yang hadir pada program libat urus Reformasi Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya di Dewan Ukir Mall, Alor Setar hari ini.
Ab Rashid (tujuh dari kiri) bergambar bersama peserta yang hadir pada program libat urus Reformasi Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya di Dewan Ukir Mall, Alor Setar hari ini.
A
A
A

ALOR SETAR - Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya (ERC) Malaysia akan mengemukakan cadangan kepada kerajaan untuk mewujudkan satu badan khas bagi melaksanakan persempadanan semula kawasan pilihan raya.

Pengerusinya, Tan Sri Ab Rashid Ab Rahman berkata, sistem itu sudah dilakukan banyak negara maju antaranya Kanada, Autralia, New Zealand dan United Kingdom.

Menurutnya, ia memberi banyak kelebihan selain dapat menepis persepsi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memenangkan parti kerajaan setiap kali diadakan Pilihan Raya Umum (PRU).

“Badan bebas ini akan menentukan kelak kawasan mana perlu dilakukan persempadanan semula, manakala SPR hanya jalankan proses pilihan raya.

"Selepas ini SPR tidak lagi dipersalahkan jika ada pihak tidak berpuas hati berhubung agihan pengundi dan kawasan,” katanya pada sidang media selepas program libat urus Reformasi Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya di sini hari ini.

Ab Rashid berkata, pihaknya akan membuat perbandingan sistem yang digunapakai di beberapa negara, antaranya Kanada dan New Zealand, namun ia perlu disesuaikan dengan konteks Malaysia.

“Kemungkinan badan berkenaan bukan bersifat kekal, hanya diwujudkan lapan tahun sekali untuk uruskan persempadanan semula.

"Contohnya di Kanada, ia ditubuhkan setiap lapan tahun dan lakukan persempadanan berdasarkan formula ditentukan dan dibubar sejurus selesai,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, pemilihan anggota badan berkenaan juga harus bebas dan dipilih oleh Parlimen.

“Keahlian badan itu boleh diwakili parti kerajaan, pembangkang, ahli akademik, hakim dan ketua statistik negara. Ini yang dipraktikkan di Kanada,” katanya.

Ab Rashid berkata, badan berkenaan juga diberi hak menentukan asas dalam melakukan pemilihan kawasan persempadanan.

“Antara asas digunakan sekarang ialah melihat kepada pemilih dan keluasan kawasan. Secara umumnya, luar bandar mempunyai jumlah pengundi kecil, namun meliputi kawasan luas manakala dalam bandar pula kawasannya kecil tetapi ramai pengundi,” katanya.

Menurutnya, kemungkinan badan tersebut turut diberikan kuasa bagi menentukan bilangan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen untuk setiap negeri.

“ERC akan kemukakan syor untuk perluaskan skop badan itu, bukan sahaja lakukan persempadan tetapi termasuk menilai jumlah kerusi ikut kesesuaian negeri,” katanya.

Ab Rashid berkata, ERC juga akan mencadangkan agar diadakan tempoh bertenang sebelum proses membuang undi sekurang-kurangnya tiga hari.

“Aspek lain yang dikaji termasuk kesalahan pilihan raya. Kita ada bahagian khas kaji undang-undang berkaitan,” katanya.

Menurutnya, kempen mengemas kini alamat pemilih akan dilakukan apabila pendaftaran automatik berkuatkuasa.

“Pemilih perlu mengundi di tempat mereka tinggal. Jika berpindah mereka perlu kemas kini alamat dalam tempoh tiga bulan.

"Pendaftaran automatik akan merujuk kepada data Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk menentukan kawasan mengundi,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!