Aminuddin sokong ambil tindakan tegas isu perkauman
SEREMBAN - Kerajaan Negeri Sembilan bersetuju dengan tindakan pihak polis menahan serta merta tanpa amaran terhadap pihak- pihak yang cuba membangkitkan sensitiviti perkauman, bangsa dan agama termasuk pemimpin politik.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, sekarang adalah masa untuk bertindak kerana sebelum ini telah terlalu banyak amaran diberikan.
"Sudah 62 tahun merdeka dan rakyat pelbagai kaum duduk bersama dalam masyarakat majmuk tetapi masih (antaranya) kurang matang tangani isu perkauman dan agama yang merugikan negara.
"Sedangkan semua tahu negara kita adalah terbaik. Contohnya jika berlaku apa-apa bencana, tidak pernah kenal agama dan bangsa, kita saling bantu membantu waima yang berlaku di negara luar.
"Tetapi sentimen ini merosakkan hubungan baik yang selama ini dibina dari kecil hingga dewasa dan menunjukkan ramai lagi dalam kalangan rakyat atau individu yang tidak matang dalam memikirkan kepentingan negara sepertimana Tun (Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad) kata, harus bina semula negara," katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador yang polis tidak akan tidak teragak-agak untuk menangkap mereka (pihak bangkitkan isu perkauman) dan memang akan lakukan tangkapan selain tiada lagi amaran.
ARTIKEL BERKAITAN: Individu bangkit isu perkauman terus ditangkap, tiada lagi amaran
Aminuddin juga menegaskan, rakyat perlu mengelakkan isu-isu begini daripada terus bermain dan menjadi ancaman kepada negara pada masa akan datang.
"Saya berharap generasi hari ini menumpukan usaha bina semula negara, elak rasuah dan kerosakan pada negara bukannya memainkan isu perkauman dan agama.
"Kita yakin ruang perbincangan, rundingan dan berdialog masih besar di negara kita, jadi gunakan medium yang sepatutnya," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!