Harga kasut hitam di Johor terkawal
JOHOR BAHRU - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor mengesahkan harga kasut sekolah hitam masih berada di paras terkawal.
Pengarahnya, Khairul Anwar Bachok berkata, sehingga kini, pihaknya tidak menerima sebarang laporan berhubung kenaikan barangan tersebut selain pemantauan sentiasa dilakukan.
"Kita belum dapat apa-apa laporan kenaikan harga. Pihak kami juga sedang giat melakukan pemantauan menerusi Ops Catut 3 bagi barangan kelengkapan sekolah sejak 23 Disember lalu.
"Mengenai kasut hitam ini, kita dapati memang ia lebih mahal berbanding kasut putih. Bagaimanapun kita akan cuba pastikan harganya sentiasa terkawal," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, di sini, hari ini.
Khairul Anwar berkata, pihaknya juga mengalu-alukan sekiranya terdapat pengguna yang rasa ditipu untuk segera membuat laporan bagi membolehkan siasatan dilakukan.
"Sesiapa yang rasa harga kasut yang mereka beli itu terlalu tinggi, boleh segera buat laporan.
"Mereka hanya perlu nyatakan bukti perbezaan harga dengan jelas merangkumi jenama kasut dan kualitinya," katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Johor, Aris Mamat berkata, laporan berhubung kenaikan harga barangan itu amat diperlukan bagi membuka kertas siasatan.
"Kita perlukan maklumat, selepas menerima laporan kita tidak boleh terus ambil tindakan, kena siasat dahulu. Disebabkan itu kita memerlukan maklumat terperinci dan lengkap.
"Kita mahu butiran pembelian dan lokasi kedai atau premis mereka membeli barangan itu. Jika didapati salah kita akan keluarkan notis," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!