Staf Pos Laju dihargai polis bantu tahan OKT lolos
KUALA KANGSAR - Tindakan seorang kakitangan perkhidmatan kurier Pos Laju yang berjaya mematahkan cubaan orang kena tahan (OKT) meloloskan diri dari Mahkamah Kuala Kangsar di sini, bulan lalu berbaloi apabila usahanya itu diiktiraf Polis Diraja Malaysia.
Mohammad Syeikqul Mazelan, 27, ketika menceritakan detik itu berkata, dia bertugas menghantar barang di bangunan tersebut pada waktu itu ternampak lelaki berpakaian lokap berwarna ungu berlari ke arahnya.
Menurutnya, dia kemudian bertindak pantas menghadang kakinya ke pintu utama bagi menghalang tindakan OKT tersebut melarikan diri.
"Saya menunggang motosikal ternampak OKT terbabit berlari ke arah pintu utama mahkamah dan secara spontan, saya hulur kaki setelah lihat dua anggota polis berkejar dari belakang.
"Ia menyebabkan pergerakan lelaki itu agak terbantut membolehkan anggota polis menahan kembali OKT berkenaan sebelum dihantar ke penjara," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini.
Surat penghargaan disampaikan Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Razali Ibrahim pada Perhimpunan Bulanan Polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kangsar, di sini semalam.
Mohammad Syeikqul turut meluahkan rasa bangga kerana dapat membantu pihak berkuasa meskipun menyifatkan bantuan dihulurkan itu sebagai sumbangan kecil.
"Cerita saya diharapkan menjadi pendorong kepada masyarakat di luar untuk sama-sama membantu polis atau sesiapa sahaja," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!