Polis tahan 97 warga China dalam Op Dadu
KUALA LUMPUR - Polis menyerbu empat unit banglo mewah di Changkat Duta Kiara, Bukit Kiara di sini yang dipercayai menjalankan kegiatan judi dalam talian dan menahan 97 warga China yang dipercayai memasuki negara menggunakan pas lawatan sosial untuk bekerja dengan sindiket judi berkenaan, hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Judi, Maksiat dan Kongsi Gelap (D7) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Asisten Komisioner Mohd Hedzir Hussin berkata sindiket yang meraih keuntungan lebih RM72,000 sehari sejak beroperasi awal tahun ini, diserbu pada pukul 10.30 pagi dalam satu Ops Dadu.
"Semua warga China yang berumur antara 19 dan 65 tahun itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields untuk tindakan susulan dan kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Pertaruhan 1953 dan Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
“Warga China itu terdiri daripada 82 lelaki serta 15 wanita dan dipercayai aktif dalam kegiatan perjudian di empat unit banglo itu yang dijadikan pusat operasi judi dalam talian dengan meraih RM18,000 sehari bagi setiap premis,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, siasatan awal polis mendapati semua warga China itu pada mulanya dimaklumkan akan menjalankan kerja-kerja dalam talian secara am di banglo berkenaan, dan menurutnya siasatan turut mendapati bahawa setiap unit banglo tiga tingkat itu disewa dengan harga RM16,000 sebulan.
Dalam pada itu, Mohamad Hedzir berkata, polis turut merampas 66 unit komputer riba, 23 komputer, 555 telefon bimbit, 11 modem dan lapan router yang dipercayai diguna dalam urusan judi dalam talian dalam serbuan itu.
"Pusat judi itu bertindak selaku operator yang membuat iklan menawarkan pakej pautan judi dalam talian dari luar negara kepada pelanggan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dan menerusi iklan di laman media sosial yang dihantar secara rawak.
Pelanggan yang berminat akan berkomunikasi dengan operator sindiket yang beroperasi 24 jam melalui aplikasi telefon pintar bagi memberi butiran lanjut. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!