Tolak wasangka, hormati perbezaan: Sultan Nazrin
KUALA LUMPUR - Dalam dunia yang semakin pertikaian dan berpecah, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah masyarakat perlu mengambil perhatian mengenai apa yang diajar oleh Islam dan Konfusianisme tentang menghormati perbezaan dan penerimaan tulus terhadap orang lain.
Baginda menegaskan kedua-dua ajaran tersebut menggalakkan masyarakat untuk mengiktiraf kesamaan mereka kepada orang lain dan saling menghormati daripada memiliki sikap syak wasangka dan menolak sebarang perbezaan.
Kedua-dua tradisi spiritual ini, titah baginda, ditawarkan pada abad ke-21 suatu etika yang sangat diperlukan dalam membina jambatan dan mewujudkan sebuah komuniti sejagat di mana orang menyedari mereka mempunyai lebih persamaan daripada perbezaan dan sebarang perbezaan harus diraikan dan bukan ditakuti.
“Mungkin satu-satunya sumbangan terbesar yang dibuat oleh Islam dan Konfusianisme kepada etika dalam abad ini terletak pada usaha menggalakkan toleransi, penerimaan ikhlas dan komuniti secara bersama,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian ketika berkenan berangkat merasmikan Dialog Peradaban Belia Malaysia-China Mengenai Islam dan Konfusianisme, bertemakan: ‘Sumbangan Islam dan Konfusianisme Ke Arah Etika Abad Ke-21’, yang dianjurkan sempena ulang tahun ke-45 hubungan diplomatik kedua-dua negara di sini hari ini.
Dalam ucapan tersebut, Sultan Nazrin menegaskan bahawa dalam tradisi kedua-dua ajaran itu, wujud pemikiran ke arah pemahaman dan keharmonian yang pasti dapat menyokong hubungan yang diperlukan antara masyarakat dan negara pada hari ini.
Memetik contoh sejarah lama dagangan secara aman antara Kesultanan Melayu Islam dan Dinasti Ming Confucius, baginda bertitah, kedua-dua tradisi Islam dan Konfusianisme telah menikmati pertukaran, kerjasama dan dialog secara harmoni sejak berkurun lamanya.
“Ini sebahagiannya kerana, seperti kita lihat, walaupun terdapat banyak perbezaan antara mereka, kedua-dua tradisi ini berkongsi beberapa perkara utama dalam penumpuan dan persamaan,” titahnya sambil menyatakan bahawa satu-satunya yang paling penting ialah kepercayaan bersama dalam menunjukkan toleransi dan penerimaan tulus antara satu sama lain.
Sultan Nazrin seterusnya bertitah bahawa dasar untuk etika kelestarian alam sekitar turut terdapat dalam Islam dan Konfusianisme.
Baginda menggariskan bahawa apa yang dititipkan Islam dan Konfusianisme, kedua-duanya mengajar pengikut masing-masing mengenai kepentingan menggalas tanggjungjawab besar menjaga planet dan pelbagai hidupan.
“Dunia kita sebenarnya dalam keadaan terdesak dan memerlukan pendekatan beretika seperti ditekankan oleh ajaran Islam serta Konfusianisme mengenai tugas manusia terhadap penjagaan bumi.
“Beta melihat, ini adalah ‘nadi’ sumbangan sebenar yang boleh diketengahkan kedua-dua tradisi ini ke arah pembentukan etika global abad ke-21,” titah baginda.
Sultan Nazrin juga menyentuh mengenai sumbangan Islam dan Konfusianisme dalam memacu usaha membasmi kemiskinan global.
Baginda menekankan keupayaan spiritual boleh didapati dalam kedua-kedua sistem kepercayaan dari segi perkongsian kekayaan, menyokong kepada mereka yang memerlukan dan menghargai nilai sosial melangkaui kepentingan menjana kewangan.
“Dalam usaha untuk membina dunia di mana kekayaan dikongsi dengan lebih adil dan di mana masyarakat menghargai sumbangan daripada perolehan, kita boleh melihat kepada tradisi spiritual ini sebagai sumber panduan etika,” titahnya.
Majlis tersebut dianjurkan oleh persatuan alumni Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan Universiti Peking dari China. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!