Pasangan Mei Kuan-Meng Yean mara pusingan ketiga Kejohanan Badminton Dunia
PASANGAN regu wanita negara Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean hari ini berjaya melangkah mara ke pusingan ketiga Kejohanan Badminton Dunia 2019 di St Jakobshalle Indoor Arena di Basel, Switzerland.
Terdahulu pasangan ranking ke-15 dunia itu dilihat bekerja keras untuk menewaskan lawan mereka dari Taiwan Hsu Ya Ching-Hu Ling Fang dengan kemenangan 21-15, 13-21, 21-11 dalam masa 63 minit.
Mei Kuan-Meng Yean akan berhadapan dengan cabaran lebih getir dalam pusingan ketiga nanti apabila mungkin dijadual bertemu pasangan pilihan ketiga Misaki Matsutomo-Ayaka Takahashi dari Jepun yang akan bermain menentang pasangan bukan pilihan dari Australia Setyana Mapasa-Gronya Somerville nanti.
Pasangan regu campuran Tan Kian Meng-Lai Pei Jing pula berjaya menumpaskan pasangan dari England Ben Lane-Jessica Pugh dengan keputusan 21-19, 21-19 untuk melangkah ke pusingan ketiga.
Pasangan ranking 14 dunia itu nanti akan berhadapan dengan pasangan dari Thailand Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai yang ketika ini berada di ranking nombor empat dunia.
Pasangan Thailand itu mengambil masa 28 minit untuk menewaskan pasangan Rodion Alimov-Alina Davletova dari Rusia dengan kemenangan 21-12, 21-9. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!