Serap semula kontraktor rekod cemerlang
SUBANG JAYA - Kontraktor lama yang mempunyai rekod perkhidmatan kerja yang baik berpotensi diserap semula dalam operasi perkhidmatan pengurusan sisa pepejal bawah pihak berkuasa tempatan (PBT) yang telah diambil alih oleh KDEB Waste Manangement Sdn Bhd (KDEB Waste).
Pengarah Urusan KDEB Waste, Ramli Mohd Tahir, berkata, bagaimanapun pengambilan kontraktor bagi perlaksanaan kerja-kerja kutipan domestik dan pembersihan dibuat menerusi tender terbuka.
"KDEB Waste akan mengambil alih pengurusan sisa pepejal ini dari pihak PBT berdasarkan bajet yang sedia ada, dalam masa sama KDEB juga perlu mendengar nasihat dan cadangan dari PBT untuk memasukkan semula mana-mana kontraktor yang bagus.
"Bagi kawasan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) kontrak bagi kontraktor sedia ada akan tamat pada hujung tahun ini dan kontraktor baharu dilantik menerusi konsep tender terbuka.
"Kontraktor yang lama boleh sertai, jika mereka layak dan mempunyai rekod baik dan di cadangkan oleh PBT, mata merit akan diberi di mana jawatankuasa akan menilai semula," katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Lori Kompaktor bagi kutipan sampah domestik dan amroll bagi pembersihan awam kawasan pentadbiran MPSJ, di sini, hari ini.
Katanya, bagi kawasan MPSJ, lebih 10 kali ganda permohonan tender diterima berbanding jumlah skop kerja yang diperlukan.
"Bagi 65 kerja-kerja kutipan, kita ada 640 yang bida, manakala bagi 62 kerja pembersihan, sejumlah 1061 bida," katanya.
Jelas beliau, pelantikan semula kontraktor bawah pengurusan KDEB Waste merupakan langkah terbaik dalam usaha memastikan mutu perkhimatan operasi pengurusan sisa pepejal di negeri ini berada pada tahap yang baik secara konsisten.
"Kontrak yang diberi kepada semua kontraktor sebelum ini adalah kontrak berjangka pendek.
"Sebab itu model kerajaan negeri melalui KDEB Waste kita rasakan perlu satu kontrak yang bukan panjang tetapi kontrak yang sesuai untuk kerajaan negeri membuat pelaburan mengubah lanskap semua peralatan dan mesin yang perlu ada untuk perkhidmatan ini.
"Jangka kontrak yang pendek menyukarkan kontraktor membuat pelaburan dan sukar untuk mendapat pinjaman bank," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!