Perkhidmatan lupakan bekas kekasih
JAKARTA - Baru-baru ini, sebuah perniagaan menawarkan perkhidmatan untuk melupakan bekas kekasih mendapat perhatian ramai selepas ia dikongsi di Facebook.
Perkhidmatan itu didakwa dapat membuatkan seseorang 'move on' dengan bayaran 12 ribu Rupiah (RM3.50).
Pemilik Jasa Melupakan Mantan (JMM), Khoirul Anam yang berasal dari Magelang, Jawa Tengah memaklumkan perniagaannya mempunyai sijil dan tiga pekerja profesional dalam bidang terapeutik.
Ada cerita unik di sebalik JMM di mana kedai itu adalah sebuah salon rambut yang dinamakan Jasa Melupakan Mantan.
Ketika ditanya Wolipop sebuah ruangan di Detik.com, Khoirul berkata, gambar yang menjadi tular itu hanya parodi.
"Jasa Melupakan Mantan' itu adalah kedai gunting rambut milik rakan saya. Kain rentang dan nama kedai itu adalah hasil cetusan idea saya," ujarnya.
Menurutnya, dia mendapat ribuan mesej di aplikasi Whatsapp daripada individu yang mahu melupakan bekas kekasih mereka hingga Khoirul terpaksa menjelaskan bahawa terapi seumpama itu sebenarnya tidak wujud.
"Ada pemanggil yang sampai menangis meminta perkhidmatan itu semata-mata mahu melupakan bekas kekasihnya. Apabila saya jelaskan ia hanya sekadar gurauan, ada yang terus malu malah ada yang marah," tambahnya lagi.
Difahamkan, lelaki berusia 26 tahun itu sememangnya mempunyai hobi berkongsi gambar unik di media sosial seperti 'pernikahan dengan Siska Manekin' dan 'tongsis 20 meter'. - Detik.com
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!