KDEB Waste urus sisa pepejal kawasan MPSJ, MDKS
SUBANG JAYA - Operasi perkhidmatan pengurusan sisa pepejal KDEB Waste Manangement Sdn Bhd (KDEB Waste) kini diperluaskan di kawasan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dan Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS).
Exco Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru Selangor, Ng Sze Han berkata, operasi perkhidmatan itu akan bermula serentak bermula 1 Januari tahun depan.
Menurutnya, perkhidmatan dijalankan di kawasan bawah MPSJ merangkumi 127 kawasan iaitu 65 bagi skop kerja kutipan domestik, dan 62 bagi kerja-kerja pembersihan.
"Seperti di kawasan lain, saya menjangkakan KDEB Waste bakal berdepan dengan cabaran dalam pengurusan sisa pepelal di MPSJ ini. Cabaran pertama adalah pertambahan jumlah sampah sisa pepejal.
“Ketika ini purata jumlah tan sampah yang dikutip KDEB Waste adalah sebanyak 4,000 tan sehari," katanya pada Majlis Penyerahan Lori Kompaktor bagi kutipan sampah domestik dan amroll membabitkan pembersihan awam kawasan pentadbiran MPSJ di sini, hari ini.
Menurutnya, dijangkakan jumlah tersebut akan meningkat kepada sebanyak 7000 tan sampah sehari di Negeri Selangor ini pada tahun depan.
“Cabaran lain yang bakal dihadapi KDEB Waste adalah isu pembuangan sampah haram yang masih dilakukan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab. Kegiatan tidak bertanggungjawab perlu dipantau dan tindakan penguatkuasaan perlu dipertingkatkan di beberapa kawasan.
"Dalam hal ini saya menyeru semua pihak terutamanya Ahli Majlis yang dilantik dan semua pihak supaya bertindak secara kolektif bagi membenteras aktiviti tidak bertanggungjawab ini,” katanya.
Sze Han berkata, penguatkuasaan dan pemantauan oleh PBT mestilah dilakukan dari semasa ke semasa bagi menghalang kegiatan ini terutama di kawasan Damai Utama 7 Puchong, Pulau Meranti, Seri Kembangan dan sempadan Bandar Saujana Putra.
Dalam pada itu, menurutnya, KDEB Waste memiliki sebanyak 395 unit lori kompaktor yang diguna pakai untuk operasi kutipan sampah domestik dan jumlah tersebut dijangka melebihi 400 unit pada suku kedua tahun 2019.
“Bagi skop pembersihan awam, saya dimaklumkan sehingga kini sebanyak 479 unit lori Armroll telah dimiliki oleh KDEB Waste, dan pada suku kedua tahun 2019, dijangka akan memiliki hampir 500 unit.
"Dana kewangan yang diberikan oleh Kerajaan Negeri Selangor telahpun dibelanjakan untuk pembelian lori-lori kompaktor dan lori armroll tersebut bagi memastikan kutipan sampah domestik dan pembersihan awam di Selangor ini dapat diurus dengan baik dan berjalan lancar,” katanya.
Bagaimanapun, Sze Han berkata, KDEB Waste masih lagi terpaksa membuat pinjaman daripada institusi kewangan bagi memastikan syarikat dapat membuat pelaburan yang optima demi meningkatkan kecekapan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam dengan lebih efisye.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!