Hias kedai makan dengan Jalur Gemilang
BATU PAHAT – Seorang peniaga di Kampung Mohd Noor, Tongkang Pechah, di sini, sanggup mengeluarkan duit poketnya sendiri bagi menghiasi kedai makannya dengan Jalur Gemilang.
Mohd Suffian Md Ali, 36, berkata, sejak empat tahun lalu, dia bersama isterinya, Norshelyza Talib, 35, tidak akan ketinggalan menghias premis perniagaannya itu dengan tema kemerdekaan setiap kali bulan Ogos menjelma.
“Ini merupakan salah satu cara saya sebagai rakyat Malaysia untuk menzahirkan rasa cinta terhadap negara ini walaupun kos yang saya keluarkan tidak begitu besar iaitu kira-kira RM350 untuk menghiasi kedai ini.
“Ada orang pernah pertikaikan dan cakap di belakang bahawa saya hanya membazirkan wang buat semua ini, namun ia tidak mematahkan semangat saya, malah bertambah bangga apabila apa yang saya lakukan ini, mendapat perhatian mereka,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurut bapa kepada tiga anak itu, langkah tersebut juga merupakan salah satu cara untuknya mempromosikan kedainya yang terkenal dengan ‘Roti Canai Terbang’ apabila ada ramai pelanggan yang datang untuk makan dan mengambil gambar.
Katanya, bagi menampilkan kelainan pada tahun ini, dia akan memakai pakaian yang berkaitan dengan kemerdekaan bagi menyemarakkan lagi semangat patriotiknya berbanding hanya menghias kedainya dengan Jalur Gemilang seperti tahun-tahun sebelumnya.
“Saya akan memakainya selama sebulan sehinggalah pada sambutan Hari Malaysia pada 16 September nanti dan sebenarnya saya rasa janggal pula kalau tibanya Bulan Kebangsaan ini saya tidak berbuat apa-apa.
“Sebelum ini saya bekerja di Australia dan bila berada di luar negara, saya lihat masih ramai lagi rakyat Malaysia yang menyambut kemerdekaan walaupun jauh dan sebab itu tidak ada sebab untuk saya tidak menyambutnya secara meriah di sini (Malaysia),” katanya.
Katanya, pada tahun ini isterinya yang menyediakan menu chicken chop dan nasi lemak di gerainya itu, akan turut serta dengannya mengenakan pakaian secara seragam sama ada pakaian berkaitan dengan Jalur Gemilang atau yang berkaitan semangat kenegaraan.
Menurutnya, dia berharap usaha kecil yang dilakukannya ini dapat menyuntik semangat cintakan negara, khususnya dalam kalangan golongan muda, untuk menyambut kemerdekaan negara dengan penuh rasa syukur terhadap keamanan dan kemakmuran yang dikecapi.
“Tidak ketinggalan juga ketiga-tiga anak kami yang berusia antara 11, 13 dan 16 tahun yang akan memakai (pakaian) yang sama seperti kami, agar gerai makan kami ini meriah dan mempunyai tarikan yang tersendiri.
“Dalam masa yang sama ia mampu untuk mendidik anak-anak kami untuk mencintai negara serta mengetahui pengorbanan mereka yang terdahulu untuk menjadikan negara ini bebas daripada belenggu penjajah,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!