Kita sertai Indo-Pasifik Amerika?
HANYA dalam tempoh yang singkat, satu pola strategi ketenteraan boleh diperhatikan dalam interaksi antara kita dengan Amerika Syarikat (AS) dan sekutunya di rantau ini.
Jika sebelum ini kita dimaklumkan tentang penerimaan Dron (UAV) ScanEagle yang bernilai RM80 bilion secara percuma daripada AS, terkini kita menyaksikan pula perkembangan menarik dalam Maritime Training Activity (MTA 2019) antara TLDM dan Maritim Malaysia dengan Tentera Laut Amerika Syarikat (USN), eksesais MTA MALPHI-LAUT TLDM dengan Tentera Laut Filipina serta perbincangan bilateral peperangan kapal selam (submarine warfare) antara TLDM dengan Skuadron Kapal Selam Amerika di Guam.
Malah US Indo-Pacific Command (USINDOPACOM) melaporkan bahawa buat pertama kali dalam sejarah 25 tahun MTA, eksesais tahun ini melibatkan Maritim Malaysia dan Pengawal Pantai AS (US Coast Guard).
Langkah itu seolah-olah memberi isyarat terhadap China yang seringkali menceroboh Zon Ekonomi Eksklusif kita dengan menggunakan kapal Pengawal Pantai mereka.
MTA 2019 yang melabuhkan tirainya pada 18 Ogos lalu melibatkan antaranya KD Lekiu, KD Gagah Samudera, KM Marlin, USS Montgomery, USNS Millinocket dan USCG Stratton.
Beberapa hari sebelumnya, latihan antara TLDM dengan satu lagi sekutu Indo-Pasifik AS iaitu Filipina turut berlangsung di Cebu, Filipina melibatkan KD Perak dan KD Pari.
Pentagon sebelum itu, melaporkan China telah menembak peluru berpandu dalam latihan ketenteraan di dua kawasan berbeza di Laut China Selatan.
Tidak lama kemudian kapal Peronda Pengawal Pantai China (CCG) dan kapal hidrografi mereka,
Haiyang Dizhi 8 menceroboh blok penggalian Minyak dan Gas SK308, Beting Patinggi Ali (South Luconia Shoal) milik Malaysia.
Situasi yang lebih buruk dihadapi Filipina di mana kapal perang China telah menceroboh wilayah perairan mereka lebih daripada empat kali sejak Februari lalu.
Persoalan
Hakikatnya, Laut China Selatan tetap menjadi lokasi pertindihan tuntutan antara China dengan beberapa negara Asia Tenggara yang lebih lemah dari segi ketenteraan.
Maka tidak hairanlah apabila langkah terbaru Beijing itu melengkapi strategi China sebelum ini yang membina pulau-pulau buatan di Pulau Spratly serta memindahkan pelbagai kelengkapan dan peralatan ketenteraan di sana.
Lalu timbulnya persoalan adakah Malaysia kini menyertai pakatan Indo-Pasifik yang diketuai AS secara tidak langsung?
Sebagai contoh, perolehan 12 dron atau pesawat tanpa pemandu (UAV) ScanEagle yang dibiayai sepenuhnya oleh AS sebelum itu adalah sebahagian daripada program Maritime Security Initiative (MSI) AS yang sememangnya ada menyediakan bantuan dalam bentuk keupayaan (aset) dan kapasiti (latihan) bagi membantu ‘meningkatkan Maritime Domain Awareness (MDA) di rantau Asia Tenggara.’
Seperti mana menurut laman rasmi Jabatan Pertahanan AS sendiri khususnya Section 1263 South China Sea (SCS) Maritime Security Initiative (MSI) matlamat utama program yang turut menyasarkan Indonesia, Filipina, Thailand dan Vietnam ini adalah untuk ‘melaksanakan peningkatan keupayaan negara-negara rakan kongsi di rantau Laut China Selatan.’
Selain itu, pertemuan antara Panglima Angkatan Kapal Selam TLDM, Laksamana Pertama Baharudin Wan Md Nor dengan Komander Skuadron Kapal Selam Kumpulan 7 Amerika, Laksamana Jimmy Pitts di Polaris Point, Naval Base Guam bulan lalu turut menarik perhatian.
Hal demikian kerana dilaporkan bahawa pertemuan tersebut bertujuan untuk menyemak kembali serta membentuk matlamat bersama di samping perancangan latihan bersama pada masa hadapan.
Paling ketara ialah kenyataan Laksamana Pitts bahawa lebih banyak latihan bersama akan dilaksanakan antara kedua-dua negara seperti mana latihan Submarine Exercise (SUBEX) pada tahun lalu bagi tujuan mempamerkan komitmen bersama terhadap Indo-Pasifik yang bebas dan terbuka.
Untuk rekod, tahun lalu kerajaan Malaysia merancang membeli dua buah kapal selam lagi untuk TLDM dalam tempoh 2031 sehingga 2040 iaitu tempoh Rancangan Malaysia ke-14 RMK14 (2031-2035) dan Rancangan Malaysia ke-15 RMK15 (2036-2040).
Menjelang tempoh itu, adakah kita akan menyaksikan kerjasama lebih erat antara Malaysia dengan AS dan Filipina di bawah strategi Indo-Pasifik bagi membendung kemaraan China?
* Abdul Muein Abadi ialah Pensyarah Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!