Cereka merdeka Randy Ong, Palienivel dan Wak Bado

No Image Caption
A
A
A

SEMALAM Merak Jalanan bertemu rakan lama, Palienivel yang juga seorang usahawan harumanis dari Perlis. Pertemuan sambil pekena teh tarik itu juga membawa kepada ‘mini reunion’ bersama teman sekuliah lain yang 20 tahun berpisah selepas tamat pengajian.

Merak Jalanan bertemu semula dengan Randy Ong yang mengajar sebuah sekolah swasta di Wangsa Maju dan peguam, Mohd Baduruddin atau kami panggil Wak Bado.

Banyak kisah suka duka zaman persekolahan menyulam perbualan kami. Paling laris dibualkan ialah kenangan sambutan bulan kemerdekaan dalam kehidupan kampus.

Ketika itu, semangat Malaysia kami berkobar kencang. Sayang dan cinta pada negara tidak terungkap dengan kata-kata.

Merak Jalanan masih ingat masing-masing sendu berpelukan sambil tangan gagah mengibar Jalur Gemilang. Masing-masing mata merah direntap emosi mengenang kepayahan membentuk kesatuan pelbagai bangsa untuk membina Malaysia selepas merdeka.

Namun, kata-kata ‘banyak hati yang terluka menjelang sambutan merdeka kali ini’ oleh Wak Bado membantut perbualan. Katanya, banyak ‘permainan’ merencatkan sambutan hari bersejarah itu.

Randy Ong bersetuju. Katanya, dia kesal bila ada sesetengah pemimpin di tampuk kuasa tidak pernah bijak bila bersuara. Perasaan rakyat pelbagai bangsa sepatutnya dibelai tetapi disakiti dengan hamburan kata-kata berbaur perkauman.

Palienivel juga berang dengan insiden Jalur Gemilang dipasang terbalik. Katanya, ia jelas penghinaan kepada maruah negara dan tidak boleh dimaafkan. Ia harus dihukum.

Artikel Berkaitan:

Itulah realiti. Sambutan kemerdekaan negara kini terus dicemari insiden penghinaan kepada warganya. Ambillah tindakan tegas, hentikan daripada terus berulang. Itu rumusan Merak Jalanan sebelum isteri telefon bertanya: “Abang tak habis minum lagi ke? Bila nak balik?”

Merdekakah kita?

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!