Bendera terbalik pengkhianatan pada negara: Permat

Anaz
Anaz
A
A
A

KUANTAN - Pertubuhan Anak Muda Teruntum (Permat) menyifatkan tindakan segelintir pihak yang memasang bendera Malaysia terbalik sebagai satu pengkhianatan pada negara.

Pengerusinya, Anaz Azraaei berkata, pihaknya kesal dengan sikap tidak patriotik sesetengah pihak yang sengaja memasang Jalur Gemilang dalam keadaan sebegitu.

“Kita sudah melihat gambar-gambar Jalur Gemilang terbalik yang tular di media sosial dan timbul perasaan kesal kerana bendera dipasang sedemikian rupa.

“Malah kita tidak menolak kemungkinan terdapat segelintir pihak yang sengaja menimbulkan isu ini atas alasan tertentu,” katanya.

Semalam, Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) mendedahkan bahawa pihak mereka ada menerima satu laporan berhubung pemasangan bendera Malaysia terbalik di sebuah pusat pameran, jualan dan servis kenderaan di Perkampungan Sungai Isap, beberapa hari lalu.

Tindakan terhadap premis perniagaan itu sudah diambil dan pihak MPK kini sedang menunggu penjelasan lanjut daripada pihak tersebut.

Mengulas lanjut mengenai isu itu, Anaz berkata, perbuatan itu tidak sepatutnya dilakukan kerana ia mengundang rasa marah dan benci masyarakat.

Katanya, sebagai pertubuhan anak muda yang bertapak di Kuantan, Permat kesal sikap pihak tertentu ini yang mempamerkan sifat kurang pemahaman sivik dalam kalangan pekerja mereka yang memasang bendera secara terbalik walaupun sudah memohon maaf.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, beliau berharap tindakan tegas daripada pihak berkuasa terhadap premis atau pihak tertentu ini agar perkara sama tidak lagi berulang.

“Ini bagi memelihara kesucian jalur gemilang itu sendiri. Justeru Permat berharap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan sewajarnya terhadap individu-individu atau pihak tertentu yang melakukan perkara ini.

“Selain itu, masyarakat juga perlu memberikan kesedaran sivik dan membentuk semangat patriotik dalam kalangan rakyat Malaysia,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Satu kes pasang Jalur Gemilang terbalik dikesan di Kuantan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!