Hadiah cabutan bertuah RM15,000 menanti pengunjung

Nik Nasri (tengah) menunjukkan poster program Sambutan 1 Tahun Pemerintahan Pas Terengganu Peringkat Pas Kawasan Kemaman yang akan berlangsung mulai esok.
Nik Nasri (tengah) menunjukkan poster program Sambutan 1 Tahun Pemerintahan Pas Terengganu Peringkat Pas Kawasan Kemaman yang akan berlangsung mulai esok.
A
A
A

KEMAMAN - Hadiah cabutan bertuah bernilai RM15,000 menanti orang ramai yang hadir memeriahkan Sambutan 1 Tahun Pemerintahan Pas Terengganu Peringkat Pas Kawasan Kemaman yang akan diadakan selama dua hari di Padang Astaka Chukai, bermula esok.

Pengarah programnya, Nik Nasri Nik Malik berkata, hadiah utama berupa sebuah motosikal, peti ais dan televisyen LED berpeluang dimenangi pengunjung.

Menurutnya, pengunjung akan disajikan dengan pelbagai acara menarik sepanjang dua hari program itu, sesuai untuk seisi keluarga di samping karnival jualan diadakan bermula jam 8 pagi hingga 12 tengah malam setiap hari.

"Pada jam 9 malam hari pertama program akan diadakan Malam Tautan Kemaman Sejahtera yang menampilkan Hijjaz, Jen Enduro dan Energy.

"Program pada hari kedua pula akan dimulakan dengan rawatan syifa dan perubatan moden diikuti acara Kemaman Sejahtera Fun Run yang melibatkan seramai 300 peserta," katanya pada sidang akhbar mengenai program itu di Pejabat Ahli Parlimen Kemaman.

Nik Nasri berkata, pendakwah bebas, Datuk Dr Nurhafizah Musa juga dijemput khas bagi slot Bicara Wanita Solehah bergandingan bersama Ahli Dewan Negara Terengganu, Senator Ustazah Nuridah Mohd Salleh yang akan berlangsung pada jam 11.30 pagi.

"Selepas itu akan diadakan jamuan rakyat yang kita sasarkan akan dihadiri seramai 5,000 pengunjung sebelum diadakan sukan rakyat dan sukan pemuda.

"Pada jam 5 petang pula akan diadakan Bicara Selebriti menampilkan Heliza Helmi dan Ika Helmi," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya lagi, ceramah perdana yang akan diadakan pada sebelah malam membariskan Menteri Besar Terengganu merangkap Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai penceramah menjadi kemuncak program.

Katanya, ceramah itu akan membawakan seorang lagi Naib Presiden Pas, Idris Ahmad serta Pesuruhjaya Pas Terengganu, Senator Datuk Husain Awang dan Yang Dipertua Pas Kemaman, Che Alias Hamid.

"Program ini dianjurkan untuk membuktikan kepada rakyat bahawa Pas mempunyai ramai pemimpin pelapis yang mampu menguruskan negeri. Kemaman adalah daerah pertama di negeri ini mengadakan program ini," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!