Buruh warga Indonesia maut jatuh tingkat tiga

Pelantar kayu dan papan dipercayai lokasi mangsa terjatuh.
Pelantar kayu dan papan dipercayai lokasi mangsa terjatuh.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang buruh binaan maut selepas terjatuh dari tingkat tiga ketika sedang menjalankan kerja-kerja memasang siling di sebuah sekolah di bandar raya ini, Ahad lepas.

Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Johor, Ir Dasuki Mohd Heak berkata, dalam kejadian jam 9.45 pagi itu, mangsa yang juga lelaki warganegara Indonesia dipercayai sedang menyusun pelantar kayu pada bahagian luar aras bangunan berkenaan.

"Kejadian dipercayai berlaku ketika lelaki berkenaan sedang memasang pelantar kerja daripada kayu dan papan untuk memasang bumbung dan siling di bangunan terbabit.

"Mangsa kemudiannya tergelincir dan terjatuh ke bawah, mengakibatkan dia mengalami kecederaan parah di bahagian kepala," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dasuki berkata, mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 4 petang keesokan harinya (19 Ogos) ketika menerima rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini.

Katanya, susulan kejadian itu, satu siasatan terperinci akan dilakukan selain kerja-kerja memasang siling di bangunan berkenaan juga sudah dihentikan.

"JKKP Johor sudah mengarahkan sepasukan pegawai penyiasat untuk menjalankan siasatan berhubung kejadian ini. Kita juga sudah mengarahkan kerja-kerja penggantian bumbung dan siling di dua blok sekolah berkenaan dihentikan serta merta.

"Satu notis mengikut Seksyen 18(2)(b) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 sudah dikeluarkan kepada pihak sekolah dan tindakan perundangan akan diambil ke atas pihak yang bertanggungjawab sekiranya didapati terdapat pelanggaran di bawah peruntukan akta terbabit," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, pihaknya memandang serius setiap kemalangan melibatkan pekerja mahupun orang awam.

"Majikan adalah pihak yang mempunyai kawalan penuh ke atas sebarang aktiviti di tempat kerja.

"Majikan juga bertanggungjawab untuk mengenal pasti terlebih dahulu bahaya-bahaya di tempat kerja, membuat analisis risiko dan seterusnya mengadakan kawalan risiko yang berkesan sebelum membenarkan pekerja menjalankan aktiviti kerja," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!