Tubuh pasukan khas selesaikan pemilikan tanah

Abdul Rahman (dua, kanan) bersama pelajar yang menerima bantuan pada Program Bekas Murid Balik Ke St Thomas di Majlis Orientasi Murid Tahun 1 2019 di SK St Thomas di sini hari ini.
Abdul Rahman (dua, kanan) bersama pelajar yang menerima bantuan pada Program Bekas Murid Balik Ke St Thomas di Majlis Orientasi Murid Tahun 1 2019 di SK St Thomas di sini hari ini.
A
A
A

KUANTAN - Alumni Sekolah St Thomas telah menubuhkan pasukan khas bagi mengadakan pertemuan dengan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik demi membincangkan isu tapak Sekolah St Thomas.

Pengerusinya, Abdul Rahman Abdul Razak berkata, pada pertemuan tersebut, pihaknya akan mengusulkan dua tujuan utama bersama Menteri Pendidikan tersebut.

"Yang pertama, kita memohon bantuan daripada Dr Mazlee supaya beliau mengadakan perbincangan dengan pemilik tanah untuk memindahkan semula pelajar SK St Thomas ke tapak asalnya memandangkan bangunan tersebut masih kosong dan kelihatan tidak terurus.

“Dan yang kedua, kita juga mahu menyatakan kepada menteri agar SMK St Thomas dipindahkan ke tapak asalnya yang kini digunakan sebagai sekolah antarabangsa,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui pada Program Bekas Murid Balik Ke St Thomas di Majlis Orientasi Murid Tahun 1 2019 di SK St.Thomas di sini hari ini.

Pada majlis tersebut, seramai 84 murid tahun satu menerima bantuan wang tunai daripada alumni sekolah tersebut di samping menerima bantuan buku tulis daripada Persatuan Ibu Bapa dan Komuniti (PIBK) sekolah.

Dalam pada itu, Abdul Rahman berkata pasukan khas itu ditubuhkan hasil pertemuan pihaknya bersama wakil Pejabat Pendidikan Daerah Kuantan tiga bulan lepas berkaitan isu pemilikan tanah ini.

“Wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK St Thomas dan SMK St Thomas, guru besar kedua-dua sekolah, dan juga pegawai khas Ahli Parlimen Kuantan banyak memberi kerjasama dengan kita dan dengan itu terbentuknya pasukan petugas khas pada perjumpaan tersebut.

“Kita berharap dapat bertemu Dr Maszlee pada bulan hadapan di samping kita mendapat bantuan daripada Timbalan Menteri di Jabatan Menteri, Fuziah Salleh,” katanya

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, beliau berkata, jika cadangan yang diusulkan ditolak, mereka tiada masalah dan bersetuju berpindah ke bangunan baru seperti yang dijanjikan tetapi kita berharap nama sekolah yang sedia ada akan dikekalkan.

"Kita berat hati untuk berpindah ke bangunan baharu jika permintaan kami ditolak namun kita mahukan nama St Thomas mesti dikekalkan walaupun nama kompleks yang dicadangkan itu mahu dipakai.

“Kita mahu mengekalkan nama tersebut kerana ia identiti kami bekas pelajar yang kini hampir 30,000 bekas pelajar yang pernah belajar di sekolah ini. Jika di tukar, maka identiti kami sebagai pelajar St Thomas akan turut lenyap begitu sahaja,” katanya.

Tambahnya, pihaknya berharap agar kerajaan membantu mereka sebaiknya dalam membantu perkara ini dapat diselesaikan dengan segera.

“Sedih bila melihat pelajar sekolah St Thomas semakin berkurangan dan kini terpaksa menumpang di sekolah lain bagi meneruskan pembelajaran berbanding kami pada masa dahulu,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!