MPK terima 440 aduan anjing liar di Kuantan
KUANTAN - Sebanyak 440 aduan membabitkan anjing liar di sekitar bandar ini direkodkan Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) setakat 20 Ogos lalu.
Ketua Seksyen Perhubungan Awam dan Korporatnya, Nor Kamawati Kamal berkata, kebanyakan aduan yang diterima membabitkan kawasan di taman perumahan dan pusat rekreasi di sekitar daerah ini.
Menurutnya, pihaknya akan segera membuat tangkapan bagi memastikan persekitaran awam selamat dan bebas daripada sebarang bentuk ancaman.
“Kita banyak terima aduan mengenai masalah anjing berkeliaran. Setiap kali aduan diterima, pihak kita akan ke lokasi bagi mengesan anjing yang dikatakan berkeliaran dan mengganggu orang ramai.
“Kadang-kadang kita pergi ke kawasan itu (kawasan aduan), haiwan itu tidak kelihatan kerana seolah-olah menghidu kehadiran petugas MPK terutama sekali jika petugas ini pernah hadir menangkap anjing di kawasan tersebut,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Kelmarin, Persatuan Kebajikan Haiwan Terbiar Kuantan dan 1 Furkids Home mahu MPK menyelesaikan kes anjing liar berkeliaran di taman perumahan di daerah ini.
Dalam pada itu, Nor Kamawati berkata, Unit Vektor dari MPK akan menangkap anjing tersebut.
Jelasnya, anjing yang ditangkap akan dihantar ke tempat perlindungan anjing di bawah kelolaan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!