Tanaman terung bakal ubah nasib orang asli Bateq

Hashim (tiga, kiri) bersama Khuzairi dalam program penyerahan sumbangan CSR SSM.
Hashim (tiga, kiri) bersama Khuzairi dalam program penyerahan sumbangan CSR SSM.
A
A
A

GUA MUSANG - Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) bakal mengagihkan benih tanaman terung kepada masyarakat orang asli suku Bateq, Kampung Kuala Koh, mulai bulan hadapan.

Pengarah Jakoa Kelantan/Terengganu, Hashim Alang Abdul Hamid berkata, tanaman terung ini akan menjadi projek perintis dalam usaha memberi pulangan pendapatan kepada masyarakat orang asli.

Katanya, inisiatif ini adalah salah satu cara Jakoa mengurangkan konsep berpindah randah dalam kalangan orang asli Bateq agar mereka menetap di perkampungan itu bagi menguruskan tanaman.

"Projek ini sudah diluluskan dan menelan peruntukkan lebih RM30,000. Kita akan memberikan anak benih terung yang sudah berbunga untuk diuruskan sehingga mengeluarkan hasil.

"Kita memilih terung kerana ia tidak memerlukan tempoh yang panjang untuk proses pengeluaran hasil. Untuk peringkat permulaan, mereka akan usahakan tanaman ini di tanah seluas 100 meter persegi di kawasan kampung.

"Ini adalah projek permulaan dan menentukan projek-projek seterusnya. Jika berjaya, kita akan perluaskan namun jika gagal, ia akan terhenti setakat itu sahaja," katanya.

Beliau berkata demikian selepas ditemui dalam Program Pengagihan Sumbangan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bernilai RM20,000 kepada 52 ketua isi rumah (KIR) Kampung Kuala Koh.

Program sumbangan tanggungjawab sosial korporat itu disempurnakan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Kawal Selia dan Penguatkuasaan) SSM, Khuzairi Yahaya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, ketua kampung, Mamat Pokok berkata, dia akan memastikan projek tanaman terung ini berjaya dan mampu diuruskan dengan baik oleh penduduk kampung.

"Selain mencari hasil hutan, kami juga ada bercucuk tanam di kawasan rumah. Antaranya, kami tanam pisang dan ubi.

"Untuk tanaman terung ini, saya yakin, penduduk kampung dapat menguruskannya kerana kami sudah biasa dengan kerja-kerja bercucuk tanam," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!