Tular: Buat kuih maruku dengan kaki
IPOH - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perak, masih belum menerima aduan berhubung isu mengenai proses pembuatan kuih maruku dengan menggunakan kaki, baru-baru ini.
Ketua Penguatkuasa KPDNHEP Perak, Shamsul Nizam Khalil berkata, pihaknya masih belum menerima apa-apa maklumat berhubung perkara berkenaan dan siasatan akan dibuat.
“Buat masa ini, kita masih belum terima maklumat lagi mengenai perkara itu. Makanan sebenarnya di bawah bidang kuasa Kementerian Kesihatan.
“Jika berlaku pencemaran, kekotoran atau apa juga kesalahan di bawah bidang kuasa kita, kita akan ambil tindakan,” katanya.
Shamsul Nizam berkata demikian bagi mengulas berhubung penularan klip video menerusi aplikasi WhatsApp berhubung proses pembuatan kuih maruku menggunakan kaki yang didakwa berlaku di Ipoh.
Sementara itu, Shamsul Nizam berkata, pihaknya akan menyiasat berhubung kenaikan harga makanan di rangkaian premis makanan segera Kentucky Fried Chicken dan juga McDonald’s.
Katanya, kaedah siasatan yang dijalankan itu bertujuan untuk mengenal pasti punca sebenar yang mengakibatkan kenaikan harga makanan di kedua-dua rangkaian berkenaan.
“Kaedah penyiasatan yang akan kita buat apakah kenaikan itu berhubung dengan pelaksanaan sistem cukai jualan dan perkhidmatan (SST) baru-baru ini.
“Kita akan siasat di bawah kawalan harga dan anti pencatutan 2011. Sekiranya berlaku kenaikan harga kita akan keluarkan notis bagi mendapatkan maklumat kenapa harga ini dinaikkan dan buat analisa berdasarkan kepada peruntukan undang-undang.
“Jika didapati ada unsur membuat keuntungan tinggi yang tidak munasabah, kita akan ambil tindakan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!