Jangan guna harta syarikat sesuka hati
SEBAGAI majikan, sudah menjadi tanggungjawab mereka untuk menyediakan kemudahan atau peralatan yang sesuai bagi membolehkan pekerjanya melakukan pekerjaan mereka dengan sempurna.
Ya, kemudahan itu sudah tentulah serba lengkap seperti komputer, telefon alat tulis, fail dan sebagainya bagi memudahkan urusan kerja kakitangan.
Namun, jika kakitangan menggunakan kemudahan di tempat kerja seperti komputer untuk urusan peribadi contohnya membayar bil secara online, adakah ia dibolehkan?
Dalam hal itu, kontrak majikan dan pekerja ialah satu kontrak yang wajib dilaksanakan setiap kerja yang dipertanggunjawabkan oleh majikan.
Di samping itu juga, majikan wajib memenuhi segala kemudahan dan kelebihan yang disebut dalam surat tawaran untuk diberikan kepada pekerja.
Menggunakan harta syarikat untuk kepentingan peribadi ialah satu tindakan yang diharamkan.
Ia termasuk dalam mengambil harta secara batil dan ghulul (harta yang haram seperti mengambil harta rampasan perang pada zaman dahulu atau harta haram dalam bentuk moden seperti untung atas angin, menggunakan harta syarikat untuk tujuan peribadi dan selainnya).
ALLAH SWT berfirman: "Wahai orang yang beriman! Janganlah kamu memakan (mengambil) harta-harta di antara kamu dengan cara yang batil (haram)..." (Surah al-Nisa’, ayat 2).
Dalam hadis yang sahih juga, Nabi Muhammad SAW bersabda: "Tidak diterima sedekah daripada harta yang ghulul (diperolehi dari kaedah atau sumber yang haram)."
Kaedah untuk bertaubat, maka hendaklah membuat bayaran sejumlah apa yang digunakan kepada majikan kerana ia ialah hak manusia sesama manusia.
Ia tidak cukup dengan sekadar istighfar dan taubat semata-mata tanpa memulangkan hak atau memohon kemaafan.
***Ustaz Mustafar Mohd Suki merupakan Fellow Pertubuhan Multaqa Asatizah & Duat (Murshid), pendakwah dan penulis.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!