Kebakaran kilang aluminium: Bahan kimia tak boleh dipadam guna air
PONTIAN - Operasi pemadaman kebakaran bahan kimia aluminium dross di sebuah kilang aluminium di Kawasan Perindustrian Pontian sejak petang semalam masih dijalankan.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Balai Bomba (BBP) Pontian Baru, Iqbal Raduan berkata, terdapat 558 tan bahan kimia di kilang itu namun hanya 12 tan sahaja terbakar di mana ia tidak boleh dipadamkan menggunakan air.
"Pemadaman dibuat dengan menggunakan alat pemadam api. Pada jam 11.30 pagi tadi pasukan Hazmat membuat kerja-kerja nyah cemar dengan menggunakan teknik menyelimut.
"Punca dan anggaran kerugian masih di dalam siasatan. Operasi masih belum ditamatkan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut Iqbal, sembilan anggota bersama tujuh anggota Hazmat BBP Johor Bahru terlibat dengan operasi tersebut sebaik menerima panggilan kecemasan kira- kira jam 4 petang semalam.
Sementara itu, satu mesyuarat keselamatan daerah telah diadakan tengah hari tadi di Pejabat Daerah, namun tiada sebarang komen mengenai mesyuarat tersebut.
Bagaimanapun penduduk berdekatan di Kampung Sungai Bunyi yang ditemui masih tidak mengetahui kebakaran stor simpanan bahan kimia tersebut kerana tidak melihat api kebakaran.
Namun rata-rata yang ditemui berharap penjelasan lebih lanjut dapat diberikan terutama tentang risiko bahan kimia yang terbakar dari segi kesihatan oleh pihak berwajib.
ARTIKEL BERKAITAN: Stor simpanan bahan kimia terbakar
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!