Spesies ikan meningkat di perairan Terengganu

Azman (tengah) menyaksikan kerja menurunkan tukun dasar lembut di perairan Setiu hari ini.
Azman (tengah) menyaksikan kerja menurunkan tukun dasar lembut di perairan Setiu hari ini.
A
A
A

SETIU – Usaha kerajaan melabuhkan tukun tiruan telah berjaya meningkatkan bilangan dan kepelbagaian spesies hidupan marin khususnya ikan di perairan Terengganu.

Pengarah Perikanan Terengganu, Zawawi Ali berkata, kajian Institut Sumber Marin Asia Tenggara (ISMAT) Terengganu mendapati lokasi tukun dilabuhkan telah memberi kesan positif kepada biodiversiti pelbagai spesies ikan.

Menurutnya, spesies ikan selepas 45 bulan tukun dilabuhkan di lokasi kajian didapati bertambah dari 15 kepada 109 spesies membabitkan 76 spesies komersial dan 33 spesies batu karang.

“Sebanyak 32 spesis ikan komersial dan 14 spesies ikan batu karang pula direkodkan yang aktif di tukun keluli selepas dilabuhkan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa Majlis Pelancaran Program Melabuh Tukun Negeri Terengganu 2019, di Perairan Setiu dekat Merang di sini, hari ini.

Azman
Azman

Majlis tersebut disempurnakan Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa, Dr Azman Ibrahim.

Sementara itu menurut Azman, sebanyak 23 unit tukun kuboid (tukun dasar lembut) yang bernilai RM450,000 telah dilabuhkan pada tahun ini.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, sebanyak 12 unit tukun dilabuhkan di perairan Setiu dan selebihnya di perairan Batu Rakit, Kuala Nerus.

"Daripada jumlah itu RM150,000 daripada peruntukan kerajaan negeri dan selebihnya pusat bagi membina tukun dengan berat hampir 19 tan metrik seunit.

”Usaha ini memberi manfaat kepada 843 nelayan di Setiu dan 493 nelayan di Kuala Nerus dalam jangka masa panjang dengan wujudnya habitat baru kepada ikan dan hidupan marin lain," katanya.

Tambahnya, pihaknya menyasarkan aktiviti berkaitan tukun tiruan dan unjang dapat dilaksanakan sebelum tiba musim tengkujuh atau selewat-lewatnya pada penghujung Oktober ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!