Kebakaran hutan Amazon makin merebak

Gambar dikongsi pengguna media sosial menunjukkan keadaan langit menjadi gelap pada waktu tengah hari akibat asap tebal.
Gambar dikongsi pengguna media sosial menunjukkan keadaan langit menjadi gelap pada waktu tengah hari akibat asap tebal.
A
A
A

BRASILIA - Kebakaran merebak pada kadar cepat di hutan hujan Amazon di Brazil dan saintis turut memberi amaran bahawa ia bakal memberi tamparan hebat kepada usaha untuk memerangi perubahan iklim.

Institut Kebangsaan untuk Penyelidikan Angkasa (INPE) mendedahkan kebakaran itu semakin teruk sejak ia mula mengesan insiden itu pada 2013.

Data INPE menunjukkan terdapat 72,843 kebakaran berlaku di Brazil pada tahun ini dah lebih separuh daripadanya di wilayah Amazon.

"Terdapat peningkatan lebih 80 peratus berbanding tempoh sama pada tahun lalu. Kawasan lebih satu setengah saiz padang bola musnah setiap minit pada setiap hari," ujar institut tersebut.

Imej dan rakaman video dramatik yang dikongsi di media sosial menunjukkan asap tebal memenuhi ruang udara.

Asap tebal itu telah merebak ke Sao Paulo terletak lebih 2,700 kilometer hingga menyebabkan keadaan langit menjadi gelap pada waktu tengah hari.

Sementara itu, program satelit Kesatuan Eropah, Copernicus memaparkan peta menunjukkan kebakaran itu merebak di sepanjang Brazil hingga ke pantai timur Atlantik.

Dalam satu kenyataan lain, Pengarah Saintifik Institut Penyelidikan Alam Sekitar di Amazonia, Ane Alencar memberitahu, kebakaran yang berlaku itu dipercayai berpunca daripada aktiviti penebangan hutan.

Artikel Berkaitan:

"Ini jelas dilakukan dengan sengaja ketika musim panas pada setiap tahun. Mereka tebang pokok dan biarkan kayu itu kering sebelum dibakar dan menjadi abu yang boleh menyuburkan tanah," katanya.

Asap tebal itu telah menyelubungi hampir separuh daripada negara itu dan kini merebak ke negara jiran seperti Peru, Bolivia dan Paraguay.

Pengguna media sosial turut berkongsi keadaan sekitar akibat daripada kebakaran itu.

Peminat kumpulan K-Pop, BTS yang menggelarkan diri mereka sebagai Army juga bertindak melancarkan hashtag #ArmyHelpThePlanet.

Kumpulan pencinta alam telah sekian lama berkempen untuk menyelamatkan Amazon dan menyalahkan dasar Presiden Brazil, Jair Bolsonaro kerana tidak menghiraukan keadaan hutan hujan yang membekalkan 20 peratus oksigen kepada bumi. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!