Zakir Naik beri keterangan lagi hari ini
KUALA LUMPUR - Pendakwah antarabangsa Dr Zakir Naik hadir memberi keterangan kali ketiga kepada polis di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini hari ini.
Pendakwah kontroversi berusia 54 tahun itu dilihat memasuki Bukit Aman dengan menaiki kereta jenis Toyota Innova pada 3.38 petang.
Beliau yang diiringi peguamnya, Datuk Akhberdin Abd Kadir kemudiannya dibawa menaiki kereta pasukan polis untuk dibawa ke Menara 2 di Bukit Aman untuk diambil keterangan.
Sebelum ini, polis telah merakamkan kenyataan penceramah bebas dari India yang mendapat status pemastautin tetap di Malaysia itu, pada Jumaat dan Isnin lepas.
Zakir dikatakan membuat kenyataan kontroversi terhadap masyarakat Hindu dan Cina di Malaysia semasa ceramah di Kota Bharu pada 3 Ogos lepas dan mencetuskan desakan supaya dia dihantar pulang ke India.
Zakir dikehendaki pihak berkuasa India sejak 2016 kerana didakwa terlibat dalam pengubahan wang haram dan menghasut ekstremisme melalui ucapan berbaur kebencian. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!