Rombakan Kabinet: Itu kuasa PM, kata Anthony Loke
SEREMBAN – Hanya Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang boleh membuat keputusan mengenai rombakan Kabinet, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.
Beliau berkata demikian mengulas khabar angin berlaku rombakan Kabinet dalam tempoh terdekat.
Mengulas lanjut Anthony berkata, beliau tidak mengetahui mengenai perkara itu dan tidak ada sesiapa yang boleh memberikan kenyataan melainkan Perdana Menteri.
“Saya tidak tahu kerana jika berlaku rombakan Kabinet atau tidak ada rombakan, itu adalah kuasa Perdana Menteri.
“Tidak ada sesiapa yang boleh memberikan apa-apa ulasan melainkan Perdana Menteri. Hanya beliau yang boleh membuat keputusan itu. Saya tiada komen lain,” katanya pada sidang media selepas hadir pada Program Kibar Jalur Gemilang Peringkat Parlimen Seremban di Sekolah Menengah Kebangsaan Panchor di sini hari ini.
Beberapa laporan berita hari ini melaporkan mengenai rombakan Kabinet yang dijangka berlaku pada bila-bila masa dan beberapa nama pemimpin disebut-sebut akan menerajui beberapa kementerian dan portfolio baharu.
Turut disebut menyertai Kabinet iaitu Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed yang juga bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri dengan alasan Kabinet memerlukan anggota yang berpengalaman.
Cerita itu timbul berikutan pertemuan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dengan pemimpin PH yang mula-mula terbabit dalam pembentukan Kabinet pada Mei 2018, semalam.
Difahamkan pertemuan itu bagi mendapatkan pandangan dan maklum balas mengenai hal ehwal perjalanan kerajaan yang menyentuh perkara berkaitan portfolio dan kementerian.
ARTIKEL BERKAITAN: Rombakan Kabinet dalam waktu terdekat?
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!