68 murid, 20 OKU terima sumbangan bantuan persekolahan
KUALA LUMPUR - Seramai 88 murid termasuk 20 murid kurang upaya (OKU) menerima sumbangan bantuan kelengkapan sekolah yang diharap mampu meniupkan semangat untuk terus menimba ilmu menjelang penggal persekolahan dibuka, tidak lama lagi.
Kesemua murid itu menerima sumbangan berkenaan ketika Program Kembali Ke Sekolah di kawasan PPR Pudu Ulu anjuran Kelab Kebajikan dan Sukarelawan Sosial Cawangan Kuala Lumpur (KKSS KL).
Ketua Skuad KKSS KL, Azlina Arbain berkata, kesemua penerima sumbangan bantuan itu terdiri daripada anak-anak keluarga kurang berpendapatan, asnaf dan anak yatim selain 20 murid OKU pendengaran.
"Kita berharap dengan sumbangan kecil ini, diharap anak-anak ini terus bersemangat untuk ke sekolah menuntut ilmu dan tidak merasa terpinggir atau serba kekurangan kerana bimbang kemungkinan akan beri kesan dari segi fokus dan semangat.
"Selain itu, sudah tentu ini antara inisiatif kelab kebajikan kita untuk menyumbang sesuatu kepada komuniti terutama mereka yang kurang berkemampuan, apatah lagi perlu menanggung bebanan kos persekolahan anak-anak yang semakin tinggi hari ini," katanya di sini.
Beliau berkata demikian selepas perasmian program oleh wakil pimpinan Amanah Cawangan Cheras, Mejar (B) Razali Zakaria dan turut dihadiri Pengerusi Persatuan Penduduk Pudu Ulu, Abd Jalil Hussain.
Menurutnya, sumbangan berkenaan adalah dana yang dikumpul hasil usaha bersama ahli kelab serta kutipan derma dan sumbangan orang ramai.
“Kita juga alu-alukan kerjasama atau sumbangan pihak kerajaan dan mana-mana syarikat korporat untuk program akan dating,” katanya.
Selain penyampaian sumbangan berkenaan, program turut diselitkan dengan persembahan tarian dan nyanyian murid OKU pendengaran yang memperagakan bakat dan potensi di hadapan kira-kira 200 yang hadir.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!